Anda di sini

Kekalkan perpaduan kukuh, kerjasama erat

Advertisement

Oleh Ambrose Rirang//

 Abang Johari (empat kiri) dan Juma’ani bersama tetamu memotong pulut kuning sebagai simbolik merasmian Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di Bintulu semalam.

SIMBOLIK: Abang Johari (empat kiri) dan Juma’ani bersama tetamu memotong pulut kuning sebagai simbolik merasmian Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di Bintulu semalam.

BINTULU: Perpaduan kukuh serta kerjasama erat merupakan elemen utama yang harus dikekalkan ke arah mencapai kesejahteraan serta keharmonian pelbagai kaum di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata hubungan erat masyarakat pelbagai kaum negeri ini yang wujud sejak sekian lama harus diteruskan generasi muda.

“Kita sememangnya menekankan aspek perpaduan dan kerjasama dalam kalangan penduduk negeri ini kerana ia nilai penting yang membolehkan rakyat terus menikmati pembangunan,” katanya pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Lembaga Amanah dan Kebajikan Islam Bintulu (LAKIB) di sini, semalam.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu berkata di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) sejak lebih 50 tahun lalu, Sarawak mencapai proses transformasi pesat dalam pelbagai sektor.

“Semua ini adalah hasil kepimpinan cekap kerajaan BN Sarawak diketuai Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem,” jelasnya.

Beliau turut melahirkan rasa bangga hubungan erat masyarakat pelbagai kaum di sini dapat dilihat setiap kali sambutan perayaan.

Katanya biarlah amalan kunjung-mengunjung dikekalkan seperti pada majlis ramah-tamah yang menyaksikan pelbagai kaum dapat duduk semeja serta bergaul antara satu sama lain.

“Inilah yang kita ingin lihat rakyat dapat bertemu serta menjalinkan kerjasama seterusnya menyenangkan proses pembangunan dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Abang Johari dan isteri, Datin Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang bersama tetamu turut memotong pulut kuning sebagai simbolik perasmian majlis tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Juma’ani dan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datin Dr Zaleha Abdullah turut memberi duit raya kepada kanak-kanak dari kawasan Jepak.

Hadir sama ADUN Samalaju Majang Renggi, ADUN Kakus Datuk John Sikie Tayai dan Residen Bahagian Bintulu Muhamad Yakup Kari.

 

Advertisement