Anda di sini

BEBC cadang tempatkan helikopter tempur di ESSZone

Advertisement

TAWAU: Kerajaan Malaysia dicadangkan menempatkan helikopter tempur di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) untuk membolehkan tindakan berkesan diambil sekiranya berlaku insiden penculikan dan tebusan.

Naib Pengerusi BIMP-EAGA Malaysia Business Council (BEBC) merangkap Pengerusi BEBC Tawau Ahdie Dodds menyifatkan aset itu amat perlu mengambil kira perkembangan yang berlaku.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita yakin dengan keupayaan pasukan keselamatan tanah air namun kita percaya pasukan keselamatan kita memerlukan aset yang canggih di udara.

“Kita percaya negara memerlukan bukan sekadar aset sebagai pemerhati seperti dron atau radar pengawasan namun aset yang membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.

Ahdie percaya jika helikopter tempur di ESSZone disediakan, pengawasan akan menjadi lebih efektif kerana pasukan keselamatan akan bertindak lebih pantas jika ada kumpulan penculik dikesan.

Mengulas lanjut, beliau berkata kes penculikan di perairan Lahad Datu yang berlaku dalam tempoh 10 hari melibatkan lapan mangsa adalah perkara serius dan menggusarkan.

“Kita melihat penutupan sempadan antara Malaysia dan Selatan Filipina yang dilakukan juga sudah cukup menyukarkan keadaan komuniti dagangan antara dua negara.

“Kita memang berharap kawasan perairan ESSZone boleh menjadi kawasan selamat, aman dan mesra dagangan tanpa ancaman atau risiko berlakunya kes penculikan,” katanya.

Menurutnya, kedudukan Tawau yang strategik di antara tiga negara Malaysia-Indonesia-Filipina, seharusnya memberi impak positif dari sudut pembangunan ekonomi.

Ahdie berkata, pihaknya juga berharap pemusatan maklumat sesama pasukan keselamatan yang berada di bawah Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCom) dapat memberikan impak positif.

“Kita tidak tahu sejauh mana kebenarannya, namun ada desas-desus yang mengatakan pasukan-pasukan keselamatan kita di dalam ESSCom tidak saling bertukar maklumat.

“Jika perkara ini benar-benar berlaku, kita khuatir lompang kelemahan pertahanan sempadan perairan negara akan lebih longgar dan menggusarkan,” katanya.

Advertisement