Anda di sini

Wanita cedera dibelasah dua peragut

Advertisement

KUCHING: Seorang wanita warga emas cedera akibat dibelasah dua peragut ketika hendak memasukkan barangnya ke dalam kereta di hadapan sebuah pasar raya di BDC di sini, kelmarin.

Mangsa berusia 68 tahun itu semasa kejadian baharu selesai membeli-belah apabila dia didatangi dua lelaki tidak dikenali sekitar jam 8 malam yang kemudian bertindak meragut beg tangannya.

“Bagaimanapun, mangsa dikatakan cuba menghalang suspek melarikan beg tangannya menyebabkan dia dibelasah sehingga menyebabkan kecederaan di muka dan badan,” kata sumber.

Kedua-dua suspek kemudian beredar dari tempat kejadian dengan melarikan beg tangan mangsa yang mengandungi dokumen peribadi dan wang tunai.

Mangsa yang turut menemui sebilah pisau dipercayai ditinggalkan suspek kemudian tampil membuat laporan polis berhubung kejadian sebelum mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

Dalam kejadian berasingan, seorang lagi wanita warga emas membuat laporan polis selepas diragut ketika berehat di luar rumahnya di Taman Muhibbah di sini sekitar jam 11 pagi semalam.

Mangsa yang berusia 81 tahun semasa kejadian dikatakan didatangi suspek yang bertindak meragut rantai lehernya yang dianggarkan bernilai RM5,000.

Difahamkan, mangsa yang juga menghidap angin ahmar tidak dapat berbuat apa-apa dan suspek kemudian terus beredar dari tempat kejadian.

Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut terhadap kedua-dua kes berkenaan.

Advertisement