Anda di sini

RWMF dianjur dan dikendali sektor swasta mulai tahun depan

Advertisement

KUCHING: Bermula tahun depan Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) akan dianjur dan dikendalikan oleh sektor swasta.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata pendekatan yang bakal digunakan nanti sama dengan pengendalian taman-taman negara di Sarawak ketika ini.

“Bermula tahun depan, penganjuran dan pengendalian RWMF edisi ke-20 akan dilakukan oleh swasta, itu sasaran kita.

“Ini kerana jika saya masih bertanggungjawab kepada pelancongan, kesenian dan kebudayaan, prinsip pelancongan bagi saya ialah ia harus diwastakan tetapi pada masa sama kerajaan akan membantu memudahkan penganjurannya selagi sektor swasta terlibat mengikut garis panduan ditetapkan kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Pelancongan Sarawak di Bangunan Baitulmakmur di sini, semalam.

Menurut Abang Johari, pendekatan melibatkan penyertaan sektor swasta dalam penganjuran RWMF diambil setelah mengambil kira ia dapat membawa inovasi dan idea baharu yang dapat memantapkan lagi festival itu.

Sektor swasta katanya, mempunyai kelebihan dari segi pemasaran dan aspek itu amat dititikberatkan bagi menarik kedatangan pelancong mengunjungi festival itu.

Beliau menambah, jenama RWMF akan dikekalkan namun kajian mendalam masih perlu dilakukan terutama bagi menentukan sektor swasta terlibat dari Sarawak atau luar negara.

“Kita juga akan melihat sama ada ia dianjurkan secara usaha sama antara Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dengan sektor swasta atau 100 peratus sektor swasta, kalau ia dikendalian oleh sektor swasta sepenuhnya, kerajaan tarik diri,” jelasnya.

Mengenai penganjuran RWMF edisi ke-19 tahun ini, Abang Johari berkata ia masih dikendali dan dianjurkan oleh STB dengan kerjasama kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

RWMF edisi ke-19 akan berlangsung dari 5 hingga 7 Ogos 2017 di Kampung Budaya Sarawak, Santubong.

Penganjuran RWMF tahun lalu menyaksikan kira-kira 20,000 pelancong tempatan dan luar negara mengunjungi festival yang dinobatkan antara 25 Festival Antarabangsa terbaik oleh Songlines sebuah majalah muzik sedunia di UK lima tahun berturut-turut (2010-2015).

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif STB yang juga Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan,Kesenian dan Kebudayaan Datu Ik Pahon Joyik memberitahu, aspek keselamatan sepanjang berlangsungnya RWMF nanti akan diperketatkan.

Tambahnya dengan insiden serangan dan ancaman kumpulan militan seperti Daish, aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan.

“Kita dari semasa ke semasa akan berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperkukuhkan lagi aspek keselamatan sepanjang RWMF berlangsung. Dalam hal keselamatan, kita tidak boleh ambil mudah,” ujarnya.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan Datuk Lee Kim Shin dan Menteri Muda Kesenian dan Kebudayaan Datuk John Sikie Tayai.

 

Advertisement