Anda di sini

Rayuan pendakwaan ditolak, hukuman penjara 25 tahun kekal

Advertisement
 Hamzah diiringi keluar oleh anggota Jabatan Penjara selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan pendakwaan terhadapnya.

DITOLAK: Hamzah diiringi keluar oleh anggota Jabatan Penjara selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan pendakwaan terhadapnya.

KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan di sini kelmarin menolak rayuan yang dikemukakan pihak pendakwaan terhadap pindaan pertuduhan ke atas Hamzah Yunus yang dijatuhkan hukuman penjara 25 tahun di Mahkamah Tinggi Tawau pada 20 Oktober 2014.

Hakim Datuk Setia Mohd Zawawi Salleh, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Ahmadi Asnawi mengekalkan hukuman yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Tinggi Tawau terhadap Hamzah.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Gani Zelika mengemukakan rayuan bagi pindaan pertuduhan kes membabitkan Hamzah Yunus yang didakwa atas kesalahan menyebabkan kematian.

Pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa berlaku pergaduhan antara responden dengan mangsa. Responden juga bertindak memulakan pergaduhan terlebih dahulu kerana tidak berpuas hati dengan kadar tambang yang ditetapkan oleh mangsa, iaitu pemandu teksi berkenaan.

Kadar tambang yang ditetapkan semasa perjanjian adalah RM15, tetapi apabila responden membayar RM50, mangsa tidak memberikan baki wang tertuduh. Berikutan itu, berlaku pergaduhan antara responden dan mangsa.

Dalam pergaduhan itu, pemandu teksi berkenaan cuba menikam responden dan responden kemudiannya merampas pisau berkenaan sebelum berlaku pergaduhan hingga menyebabkan pemandu teksi berkenaan tertikam.

Berdasarkan bukti, responden seharusnya dibenarkan untuk membela diri semasa perbicaraan berlangsung.

Peguam mewakili tertuduh Abdul Gani Zelika memberitahu mahkamah bahawa berdasarkan fakta kes dan bukti yang diberikan, malah tiada saksi dalam kejadian itu maka, pembelaan merayu agar keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan.

Mendengar rayuan kedua-dua pihak, hakim menolak rayuan yang dibuat dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan.

Hamzah didakwa melakukan kesalahan itu pada 8 Jun 2011, jam 6.30 petang di dalam sebuah teksi Proton Wira, di kiri jalan raya berdekatan Tawau Golf Club, Jalan Tiku Sin menyebabkan kematian pemandu teksi, Marsuki Pade, 44.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Namun, setelah rayuan dilakukan, hukuman berkenaan diturunkan kepada Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan Eswaran A/L Susop, 24, dan Jaswant Singh A/L Ranjit Singh, 24, terhadap pertuduhan dan hukuman yang dijatuhkan ke atas mereka oleh Mahkamah Tinggi pada 22 Oktober 2013.

Kedua-dua tertuduh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atas kesalahan yang dilakukan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Peguam mewakili kedua-dua tertuduh, Ram Singh dan Rizwandean Borhan memberitahu mahkamah bahawa pembelaan mempunyai tiga alasan tambahan bagi menyokong rayuan yang dilakukan.

Ram memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan gagal mengemukakan kesemua bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Terdapat 34 CCTV yang terdapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tetapi, hanya lapan sahaja rakaman yang diberikan kepada mahkamah. Selebihnya, 26 rakaman CCTV tidak diserahkan kepada mahkamah.

Rakaman tempat tertuduh ditangkap tidak disertakan oleh pendakwaan. Rakaman berkenaan penting kerana ia berkaitan dengan tertuduh pertama iaitu Eswaran.

Ditanya oleh hakim Mahkamah Rayuan jika pembelaan ada memohon mendapatkan rakaman daripada pihak lapangan terbang, Ram memberitahu bahawa beliau tidak memohon rakaman itu sebaliknya, beliau merasakan pendakwaan seharusnya mendapatkan rakaman berkenaan.

Ram dalam rayuannya turut memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua tertuduh tidak mengetahui kandungan bungkusan yang dibawa kerana mereka diberitahu bahawa kandungan kotak yang dibawa adalah serbuk emas (gold dust).

Pendakwaan yang diwakili Ahmad Sazilee Abdul Khairi memberitahu mahkamah bahawa tertuduh kedua, Jaswant enggan membuka bungkusan yang dibawa semasa diperiksa oleh anggota penguat kuasa.

Eswaran didakwa mengedar syabu seberat 770.9 gram pada 18 Mac 2012, jam 1 petang di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Terminal 2, Tanjung Aru. Manakala Jaswant didakwa mengedar dadah jenis syabu seberat 780.2 gram pada hari dan tempat yang sama.

Atas kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

 

 

Advertisement