Anda di sini

Hanya seorang tidak miliki kad pengenalan

Advertisement

Menantu kepada pasangan suami isteri Garaman, Bejau belum miliki dokumen berkenaan

// Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

 Bermas bersama anak-anaknya di pondok usang mereka.

PERLU KAD PENGENALAN: Bermas bersama anak-anaknya di pondok usang mereka.

BINTULU: Hanya seorang tidak memiliki kad pengenalan iaitu menantu kepada pasangan suami isteri tua daif yang mendiami rumah setinggan Pasir Putih, Tanjung Kidurong di sini.

Manakala semua anak dan cucu Garaman Jenggut, 68, dan isterinya, Bejau Untong, 61, memiliki kad pengenalan, tidak seperti dilaporkan sebelum ini.

Informasi lanjut perkara itu diperolehi semasa menyertai Skuad Sayang Bintulu diketuai Setiausaha Politik Ketua Menteri Jenny Bangga menyampaikan bantuan selepas maklum mengenai kesusahan hidup pasangan suami isteri tua terbabit.

Menantu yang tidak memiliki kad pengenalan ialah Andin Galang, 43.

“Saya telah dua kali memohon tetapi ada beberapa masalah menyebabkan permohonan saya sehingga sekarang tidak diterima,” katanya.

Kini Andin yang berasal dari Rumah Balang, Nanga Arau, Hulu Mukah telah mencapai usia 43 tahun tetapi tiada memiliki kad pengenalan.

Namun katanya, lapan anaknya yang bersekolah dan isteri, Lina, 41, termasuk bapa dan ibu mertuanya semua memiliki kad pengenalan.

Di penempatan setinggan sama sebuah lagi keluarga tidak memiliki kad pengenalan ialah Bermas Girak, 39, dan enam anaknya yang masih kecil.

Bermas berasal dari Rumah Serang, Sungai Binyo, Pandan. Dua anaknya yang lain serta suaminya memiliki kad pengenalan. Semua anaknya seramai lapan orang.

“Saya dan anak-anak berharap dapat memiliki kad pengenalan dan ada pihak dapat membantu kami mendapatkan pengesahan bagi memohon serta mendapatkan kad pengenalan dengan segera,” katanya semasa ditemui di penempatan serba daif tersebut.

Bermas menceritakan kesukaran beliau dan anak-anaknya memohon kad pengenalan sebelum ini sekali gus hasrat mendapatkan kad perakuan penting itu akan tercapai suatu hari nanti.

Advertisement