Anda di sini

Rakyat harus manfaatkan segala peluang, kemudahan pembangunan disedia k’jaan

Advertisement

SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri berkata, selaras dengan pembangunan yang pesat melanda pada masa kini, kerajaan sentiasa berusaha dengan gigih membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini, khasnya penduduk di kawasan luar bandar.

Menurutnya, usaha tersebut dapat dilihat melalui pelbagai program pembangunan yang telah, sedang dan giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk maanfaat dan kesenangan rakyat.

Bagaimanapun katanya, usaha pembangunan kerajaan akan sukar dicapai dengan berkesan sekiranya rakyat tidak memanfaatkan sepenuhnya segala peluang dan kemudahan pembangunan yang telah disediakan oleh kerajaan.

“Keadaan ini sudah tentu akan merugikan kita semua dan boleh membantutkan kelicinan pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri ini,” ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tengah, Sri Aman di Gelanggang Futsal 1Malaysia, kampung berkenaan dekat, malam kelmarin.

Sehubung itu katanya, rakyat tidak boleh lagi berpeluk tubuh dan hanya mengharapkan bantuan dan subsidi daripada kerajaan sahaja.

Sebaliknya, mereka perlu berdikari, mempunyai inisiatif dan merebut segala peluang yang disediakan iaitu peluang-peluang dalam sektor perindustrian, perniagaan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perladangan, pendidikan, pelancongan, perkhidmatan dan sebagainya.

“Dalam konteks ini, kita harus berupaya memahami dan menerima perubahan serta idea-idea baharu dengan mengubah cara kita berfikir dan bekerja supaya kita tidak tercicir daripada arus pembangunan yang semakin pesat.

“Ini lebih-lebih lagi memandangkan kita harus mempersiapkan diri dengan pengetahuan kemahiran yang mencukupi mulai sekarang ke arah merealisasikan wawasan negara kita menjadi negara maju menjelang tahun 2020 kelak,” katanya.

Turut hadir Pengerusi KRT Khamis Sita Wasli, Timbalan Pengerusi KRT Hamdan Yassin, kakitangan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman, ahli KRT serta penduduk kampung berdekatan.

Advertisement