Anda di sini

Penyaluran air bersih di peringkat penelitian, reka bentuk, kata Gerawat

Advertisement

MIRI: Projek penyaluran bekalan air bersih dari Marudi ke kawasan Puyut Lubok Nibong kini di peringkat penelitian, reka bentuk dan sebagainya mengikut prosedur sebelum tender projek berkenaan dibuka.

Ahli Dewan Undangan Negeri Mulu Datu Gerawat Gala berkata berdasarkan maklumat yang disampaikan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) bahawa projek itu akan terus dilaksanakan sebaik sahaja semua prosedur selesai.

“Saya telah menghubungi pegawai daerah Marudi, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan penghulu Puyut Lubok Nibong ekoran dua rumah panjang berkenaan terputus bekalan air disebabkan musim kering,” katanya semalam sambil menambah masalah bekalan air itu perlu diselesaikan segera.

Gerawat berkata JBALB dan JKM yang dimaklumkan tentang perkara itu telah menghantar bekalan air bersih kepada penduduk yang terjejas sementara kawasan lain yang kemungkinan berdepan masalah sama akan dipantau.

“Pada masa sama, manamana penduduk kampung yang terputus bekalan air bersih disebabkan musim kering boleh menghubungi JKM atau Pejabat Residen Marudi agar bekalan air dapat dihantar segera,” jelasnya.

Timbalan speaker DUN itu sebelum ini turut menghubungi beberapa orang penghulu dan tuai rumah panjang untuk mengetahui perkembangan semasa berhubung kekurangan bekalan air bersih.

“Bagi penyelesaian jangka panjang, saya telah bertemu dengan pengarah JBALB dan beberapa wakil daripada Jabatan Kesihatan di Kuching pada 13 Julai lalu untuk berbincang agar bekalan air bersih disalurkan ke kontituensi Mulu,” jelasnya.

Sementara itu, penghulu Puyut Lubok Nibong turut menjelaskan sehingga semalam tiada permintaan terhadap bekalan air bersih dibuat ekoran hujan lebat di Marudi baru-baru ini.

 

Advertisement