Anda di sini

Kementerian sambut baik hasrat pelabur buka sekolah antarabangsa

Advertisement

GEORGE TOWN: Kementerian Pendidikan akan membantu mana-mana pelabur atau penyedia perkhidmatan pendidikan yang ingin membuka sekolah antarabangsa di negara ini, kata timbalan menterinya Datuk P.Kamalanathan.

Beliau berkata ketika ini kementerian itu menerima satu cadangan untuk menubuhkan sekolah antarabangsa di Kluang dan satu lagi di Batu Pahat, Johor.

“Ketika ini ada kira-kira 116 sekolah antarabangsa di seluruh negara. Kementerian telah meluluskan pembukaan beberapa buah lagi dan kami mengalu-alukan mana-mana pelabur yang ingin menubuhkan sekolah serupa di luar Lembah Klang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas upacara perasmian Straits International School oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, di sini semalam.

Menurut beliau, kementerian itu akan membantu pelabur yang ingin menubuhkan sekolah antarabangsa, termasuk memberi nasihat dan perundingan bagi mempelbagaikan sistem pendidikan di Malaysia.

Kamalanathan berkata beliau akan terus menyokong inisiatif itu kerana ia adalah satu daripada Projek Permulaan (EPP) di bawah kementerian berkenaan.

“Saya harap mereka akan terus menubuhkan institusi jenis ini,” katanya. — Bernama

Advertisement