Anda di sini

Tiga mati, tujuh cedera dalam rusuhan di Penjara Pattani

Advertisement

PATTANI: Rusuhan oleh sekumpulan banduan di Penjara Pattani sejak lewat petang kelmarin telah mengakibatkan tiga banduan terbunuh dan tujuh yang lain termasuk kakitangan penjara cedera.

Ketua Polis Wilayah Pattani, Mej Jen Thanongsak Wangsupa berkata rusuhan bermula kira-kira jam 4.30 petang (waktu tempatan) apabila banduan terbabit bertindak membakar dan merosakkan sebahagian bangunan penjara.

“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati banduan terhadap kawalan dan pemeriksaan ketat bagi membanteras penyeludupan dadah di penjara yang menempatkan 1,800 banduan,” katanya kepada pemberita di sini.

Katanya mayat seorang banduan yang terbunuh telah dicampak ke bahagian bangunan penjara yang sedang terbakar dan pihak berkuasa sedang berusaha mengenal pasti identiti mangsa.

Anggota keselamatan tambahan telah dihantar ke penjara dan berjaya mengawal dan menamatkan rusuhan antara 300 hingga 400 banduan kira-kira jam 2 pagi (waktu tempatan), kata Thanongsak.

Menurutnya, dua banduan yang terbunuh itu dipercayai mati akibat dipukul sama seperti sebahagian besar yang mengalami kecederaan.

Pada jam 7 malam katanya, pihak berkuasa bertindak membawa keluar sebahagian besar banduan yang tidak terlibat dengan rusuhan ke satu kawasan selamat.

Selepas banduan terbabit dibawa keluar dengan selamat, anggota keselamatan mula memasuki bangunan penjara kira-kira 12 tengah malam untuk menamatkanrusuhan, kata beliau.

“Rusuhan berjaya dikawal dan ditamatkan tidak lama selepas itu,” katanya.

Thanongsak berkata banduan yang merusuh menuntut untuk berjumpa dengan gabenor Wilayah Pattani dan yang dipertua Majlis Agama Wilayah Pattani tetapitidak ditunaikan atas faktor keselamatan.

Pasukan keselamatan katanya, masih menyiasat tentang kejadian dan cuba mengenal pasti dalang utama yang mencetuskan rusuhan. — Bernama

Advertisement