Anda di sini

Pertukaran portfolio tidak jejas rundingan autonomi: Nancy

Advertisement
 Nancy ditemui pemberita bagi menolak kenyataan Chong pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Dewan Undangan Negeri lama semalam.

ULAS: Nancy ditemui pemberita bagi menolak kenyataan Chong pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Dewan Undangan Negeri lama semalam.

KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri menegaskan pertukaran portfolionya tidak akan menjejaskan rundingan antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan berhubung tuntutan autonomi pentadbiran yang diperjuangkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bersama pasukannya.

Menurutnya, beliau masih lagi menteri (persekutuan) dari Sarawak yang ditugaskan untuk melihat perkara tersebut.

“Saya masih lagi menteri yang ditugaskan untuk melihat perkara berkaitan penurunan kuasa autonomi dan setakat ini tiada pembatalan, tiada penamatan atau seumpamanya.

“Tetapi, saya memberitahu anda, Sarawak sangat bersedia, mereka mempunyai semua diperlukan untuk dibentangkan kepada kerajaan persekutuan.

“Saya tidak fikir ia (pertukaran portfolio itu) menjejaskan usaha ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Batang Sadong di Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di sini semalam bagi mengulas kenyataan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen mengenai perkara tersebut.

Pada masa sama Nancy menolak andaian negatif berhubung pertukaran portfolio baharu sebagai menteri bertanggungjawab menyelia Agensi Inovasi Malaysia, Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia dan Kumpulan Industri Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia.

Malah, beliau bangga kerana dilantik menjadi menteri wanita pertama di negara ini yang diberi tanggungjawab menjaga Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia.

Selain itu, beliau turut diberi tanggungjawab menyelia agensi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP)Sarawak dan Sabah.

Ahli Parlimen Batang Sadong itu yakin banyak perkara baik dapat dilakukannya khususnya untuk Sarawak di bawah portfolio baharunya itu.

Ditanya sama ada penggantinya Datuk Seri Azalina Othman Said akan mengabaikan usaha untuk menuntut autonomi itu seperti yang didakwa Chong, Nancy berkata, beliau yakin Azalina akan melakukan tanggungjawab dengan baik.

“Beliau (Azalina) baharu sahaja dilantik memegang jawatan tersebut, saya fikir untuk berlaku adil saya yakin apabila diberi peluang untuk melihat perkara tersebut beliau pasti melakukan tanggungjawabnya.

“Maksud saya sebagai menteri, kita bukan sahaja bertanggungjawab kepada negeri tetapi seluruh Malaysia. Saya tahu kebimbangan YB Chong terhadap Sarawak,” ujarnya.

Advertisement