Anda di sini

Adenan akan cari RM500j lagi untuk luar bandar

Advertisement
 Adenan ditemani Jamilah memukul beduk sebagai simbolik perasmian majlis pemimpin bersama rakyat sempena Ramah Tamah Aidilfitri di Dewan Masyarakat Lundu. Turut kelihatan Rohani (dua kiri) dan Julaihi (kanan).

TRADISI: Adenan ditemani Jamilah memukul beduk sebagai simbolik perasmian majlis pemimpin bersama rakyat sempena Ramah Tamah Aidilfitri di Dewan Masyarakat Lundu. Turut kelihatan Rohani (dua kiri) dan Julaihi (kanan).

Tambahan peruntukan amat perlu untuk rapatkan jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar

Oleh Rusnan Mustafa //

LUNDU: Demi meneruskan kelangsungan pembangunan luar bandar tahun depan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berhasrat mencari peruntukan sebanyak RM500 juta lagi untuk tujuan itu.

Beliau menjelaskan peruntukan itu melibatkan pelaksanaan projek pembangunan termasuk di Lundu, Sematan dan sebagainya bagi merapatkan jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar.

“Tahun baharu saya akan mencari RM500 juta lagi khususnya untuk pembangunan luar bandar termasuk di Lundu, Sematan dan sebagainya. Ini kerana luar bandar jauh ketinggalan jika berbanding  bandar dan itulah penekanan diberi kerajaan (negeri) di bawah kepimpinan saya.

“Justeru, saya minta lima tahun lagi semasa berkempen pada Pilihan Raya Negeri lalu dan sekarang saya sudah menerima mandat lima tahun, saya akan menunai janji saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat sempena ramah tamah Aidilfitri di Dewan Masyarakat Lundu di sini malam kelmarin.

Pada masa sama Adenan memberitahu bahawa beliau mahu melihat kawasan luar bandar terutama Lundu membangun dan maju seperti Kota Samarahan sebelum persaraanya sebagai Ketua Menteri.

“Saya akan meneruskan khidmat saya selagi boleh kerana akan tiba masanya kita akan memilih orang lain (sebagai Ketua Menteri. Saya mahu Lundu, Sematan maju seperti mana yang telah saya lakukan di Muara Tuang,” tambahnya.

Jelasnya, antara projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan DUN Tanjung Datu, projek Lebuh Raya Pan Borneo, tebingan laut dan sungai serta projek kemudahan asas lain.

“Sebelum saya berhenti (bersara) saya mahu semua kawasan di Lundu sudah ada jalan raya, elektrik dan bekalan air,” katanya lagi.

Pada majlis itu, beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan serta kepercayaan rakyat Sarawak terhadap kepimpinannya dan Barisan Nasional (BN) untuk terus memimpin negeri ini.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing, Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Turut hadir Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar (Kawasan Persisir dan Perikanan) Datuk Julaihi Narawi, Menteri Muda Urbanisasi Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Opar Ranum Mina dan tetamu kehormat lain.

Advertisement