Anda di sini

Pertingkat usaha banteras cetak rompak muzik Dayak

Advertisement

Jual VCD cetak rompak ke rumah panjang taktik baharu

// Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Industri muzik tempatan khususnya Dayak terus berdepan dengan cabaran dalam usaha membanteras kegiatan cetak rompak yang menyumbang kerugian jutaan ringgit setahun kepada industri itu.

Terbaharu, satu lagi taktik penjualan video cakera padat (VCD) cetak rompak album artis Dayak yang bergerak secara persendirian ke rumah-rumah panjang dikesan oleh Persatuan Industri Rakaman Dayak Sarawak (PERISAI).

Sehubungan itu, Pengerusi Persatuan Pemuzik Artis Dayak (DAMA) Snowdan Lawan menggesa supaya tindakan segera diambil bagi membanteras penjualan album cetak rompak menggunakan taktik baharu itu.

“Jika kegiatan ini tidak dihapuskan ia bukan sahaja menyebabkan kerugian jutaan ringgit dalam kalangan pemain industri ini, malah ada antara mereka yang gulung tikar akibat kerugian.

“Sebab itu, DAMA dengan kerajasama Persatuan Pemuzik Artis Bidayuh (BAMA), PERISAI  dan Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan meneruskan usaha membanteras kegiatan ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada penyampaian sijil penghargaan kepada KPDNKK atas usaha serta kejayaan membanteras kegiatan cetak rompak bagi menyuburkan lagi industri muzik Dayak.

Sijil disampaikan oleh Snowdan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin kepada Ketua Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK Sarawak Abd Hafidz A Rahim merangkap Timbalan Pengarah KPDNKK Sarawak.

Tambah Snowdan, sasa-ran persatuan adalah untuk mencapai sifar cetak rompak seperti di negara jiran Singapura, namun sasaran ini  hanya akan dicapai jika semua pihak memberi kerjasama.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak membeli VCD album cetak rompak yang dijual secara haram di premis-premis jualan mahupun yang bergerak secara persen-         dirian.

Sementara itu, Pengerusi BAMA Dr Alim Impira yang juga merupakan seorang artis rakaman Bidayuh berkata, matlamat persatuan adalah untuk melihat lagu-lagu Bidayuh dimainkan di luar negara.

Tetapi, katanya, matlamat ini tidak mungkin dapat dicapai jika masyarakat sendiri tidak menyokong industri ini dengan merompak sendiri hasil-hasil karya artis Bidayuh.

Advertisement