Anda di sini

Sarawak tidak letak sasaran emas

Advertisement
 Pemain skuasy Sarawak memberi pose istimewa selepas sesi latihan di Pusat Skuasy Sarawak, Petra Jaya.

KURANG PENGALAMAN: Pemain skuasy Sarawak memberi pose istimewa selepas sesi latihan di Pusat Skuasy Sarawak, Petra Jaya.

KUCHING: Acara skuasy yang akan berlangsung dari 23 hingga 28 Julai ini di Pusat Skuasy Sarawak, Petra Jaya tidak diletakkan sebarang sasaran emas oleh kontinjen SUKMA Sarawak.

Ia memandangkan kebanyakan atlet yang bertanding masih muda selain ketiadaan pemenang emas pada SUKMA 2014 (Sanjay Singh Chal) yang sudah terlebih usia.

Menurut pegawai skuad itu, Sarawak bakal berdepan misi sukar kerana perlu berdepan lawan kebangsaan yang mewakili negeri lain.

Malah beliau akui pemain sedia ada masih belum dapat menyamai standard pemain kebangsaan.

Menurutnya lagi, kelebihan dimiliki negeri lain adalah memiliki pemain kebangsaan dan profesional yang pernah memenangi kejohanan di peringkat Asia, Britain serta beberapa kejohanan lain.

Selain itu katanya, atlet kebangsaan juga berkelebihan kerana menjalani latihan di fasiliti Bukit Jalil yang turut menyediakan gelanggang bagi acara beregu.

Untuk rekod, acara beregu buat pertama kalinya dipertandingkan pada SUKMA Ke-18 ini dan semua atlet Sarawak kecuali Marcus Sim Wei Jie tidak pernah bertanding dalam acara beregu.

Selain Marcus, Sarawak turut meletakkan harapan di bahu tiga pemain SUKMA lepas iaitu Jess Tay, Ma Si Yi dan Jean Wong Zhi Xuan.

Pemain lain ialah Denhalm Tan Jun Yan, Timothy Ling dan Carina Loi Jing.

Sarawak merangkul satu emas dan satu gangsa masing- masing menerusi acara perseorangan lelaki dan berpasukan lelaki pada SUKMA 2014 di Perlis.

Skuad itu dilatih oleh Muhammad Shoaib Hassan dan Abdul Basit Samad manakala Lucy Lao Puong Siong bertindak selaku pengurus pasukan.

Advertisement