Anda di sini

Sarawak dijangka pertahan kejuaraan

Advertisement

Skuad tenis Sarawak telah benar-benar bersedia memburu tujuh pingat emas yang dipertandingkan

// Oleh Harry Ilias //

 Abdul Karim (enam kanan) dan Patrick (empat kiri) bersama-sama memegang bendera Sarawak semasa mengadakan lawatan ke SLTA semalam.

BERSEDIA: Abdul Karim (enam kanan) dan Patrick (empat kiri) bersama-sama memegang bendera Sarawak semasa mengadakan lawatan ke SLTA semalam.

KUCHING: Ketua Kontinjen Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yakin Sarawak dapat mempertahankan kejuaraan dalam acara tenis pada SUKMA Ke-18 yang akan berlangsung dari 22 hingga 30 Julai ini di gelanggang Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) dan Sarawak Club.

Menurut Abdul Karim, skuad tenis Sarawak telah benar-benar bersedia untuk melaungkan cabaran memburu tujuh pingat emas yang dipertandingkan.

“Saya cukup yakin skuad tenis kita dapat merangkul juara keseluruhan pada SUKMA kali ini.

“Mereka telah bersedia sepenuhnya dan semua atlet juga menunjukkan semangat yang begitu tinggi,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan bendera dan lawatan ke venue SLTA semalam.

Hadir sama Presiden SLTA Datuk Patrick Liew dan exco persatuan terbabit.

Abdul Karim yang juga Menteri Muda Belia dan Sukan berkata kehadiran Patrick sebagai tulang belakang sukan tenis di negeri ini serta keadaan fasiliti di SLTA menguatkan lagi keyakinan beliau peluang Sarawak untuk mempertahankan kejuaraan dalam acara tersebut.

Malah, tegasnya lagi Sarawak bukan sahaja menyaasarkan juara dalam acara tenis sahaja sebaliknya sebagai juara keseluruhan pada SUKMA ini.

“Kita tidak mahu menjadi kedua terbaik kerana KPI diberikan oleh Ketua Menteri adalah bergelar juara keseluruhan,” tambah Menteri Muda Perumahan itu lagi.

Sementara itu, Patrick berkata pihaknya telah membuat persiapan rapi daripada aspek latihan atlet mahupun penyediaan fasiliti untuk menghadapi SUKMA Ke-18.

Katanya atlet Sarawak telah menjalani latihan intensif selama berbulan di dalam dan luar negara dengan sebahagian dihantar menjalani latihan di Amerika Syarikat, Australia, Jerman dan Romania.

Selain menyaasarkan kutipan emas dalam acara perseorangan wanita, beregu campuran dan beregu (lelaki dan wanita), Patrick percaya Sarawak mampu melakar kejutan dalam beberapa acara bukan pilihan.

“Venue kejohanan telah lengkap sepenuhnya. Kerajaan negeri telah menyumbang sejumlah RM300,000 untuk mengecat dan melapis semula permukaan gelanggang tenis.

“Kita mahu menyediakan layanan terbaik kepada tetamu-tetamu yang datang dari negeri lain agar mereka kagum dengan layanan diberikan oleh Sarawak kepada mereka nanti,” tambah Patrick.

Sarawak akan mempertaruhkan lima atlet lelaki dan lima wanita iaitu Low Zhe Han, Alvin Teng, Rohizat Achop, Isaak Low, Muhd Aiman, Aslina Chua, Linda Liong, Belinda Chai, Alia Azman dan Tan Lin Yin.

Skuad bimbingan Deen Hisham dan Rick Alforque itu akan berentap dalam acara perseorangan, beregu, berpasukan dan beregu campuran (lelaki dan wanita).

Advertisement