Anda di sini

Pos imigresen baharu diperlu atasi kesesakan Tedungan: Dr Abd Rahman

Advertisement
 Dr Abdul Rahman (tiga kiri) menyerahkan sumbangan raya kepada seorang warga emas sambil disaksikan Bungsu (dua kiri), Sufian, Penghulu Abu (dua kanan) dan ketua masyarakat lain.

TIDAK DILUPAKAN: Dr Abdul Rahman (tiga kiri) menyerahkan sumbangan raya kepada seorang warga emas sambil disaksikan Bungsu (dua kiri), Sufian, Penghulu Abu (dua kanan) dan ketua masyarakat lain.

LIMBANG: Sebuah pos imigresen baharu berhampiran Kampung Pendam (Limbang) dan Lumapas (Brunei) perlu dibina di daerah ini bagi  mengatasi masalah kesesakan luar biasa dihadapi Pos Imigresen Tedungan terutama semasa musim perayaan serta cuti sekolah.

Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat Dr Abdul Rahman Ismail berkata pos imigresen baharu di lokasi itu amat diperlukan terutama dengan pembinaan jambatan kedua menyeberangi Sungai Limbang yang dijangka memulakan pembinaannya tahun ini.

Selain itu jelasnya masalah kesesakan luar biasa dihadapi Pos Imigresen Tedungan sebelum dan semasa sambutan Aidilfitri lepas hingga menjangkaui enam kilometer akan dapat diatasi dengan pembinaan pos imigresen baharu itu nanti.

“Sebuah Pos Imigresen di Pendam (Limbang) dan Lumapas (Brunei) perlu dibuka untuk mengatasi kesesakan di Tedungan terutama semasa sambutan Aidilfitri yang lepas.

“Kebanyakan pengguna jalan termasuk warga Brunei turut menggunakan laluan itu untuk ke Sabah hingga menimbulkan kesesakan luar biasa,”katanya pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri anjuran Kampung Pahlawan malam kelmarin.

Hadir pada majlis itu ialah Wali Kota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat, Penghulu Abu Tinggal, Ketua Kampung Pahlawan Bungsu Tambah dan ketua masyarakat lain.

Pada masa sama, ADUN Bukit Kota itu mahu rakyat di daerah ini terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan mengekalkan momentum kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dijangka diadakan 2018 nanti.

“Kemenangan ini hanya akan dicapai melalui semangat bersatu padu, kerjasama dan berdiri teguh dengan menyokong kerajaan BN yang ada untuk meneruskan agenda pembangunan.

“Melalui sokongan inilah kerajaan akan dapat melaksana lebih banyak pembangunan meliputi pelbagai aspek membabitkan pembangunan fizikal, pendidikan, ekonomi, modal insan dan pembangunan menyeluruh lain,”ujarnya.

Menurutnya masyarakat hari ini perlu lebih bersedia untuk terlibat dalam pembangunan negara.

“Jangan hanya menjadi pemerhati kepada pembangunan yang dijalankan sebaliknya kita perlu turut serta dan menyumbang kepada kemajuan kawasan, negeri dan negara tercinta,” katanya.

Dalam pada itu jelasnya Kampung Pahlawan merupakan kampung terbesar di Limbang, mempunyai lima zon akan mempunyai dewan serba gunanya sendiri tahun depan.

Katanya sebanyak RM1.5 juta diperuntuk di bawah Program Mesra Rakyat (PMR), (Parlimen) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP), (negeri) untuk menyiapkan dewan berkenaan yang kini sedang dalam proses pembinaan.

Pada majlis itu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pahlawan turut menyerahkan sebanyak 41 sumbangan kepada warga emas.

Advertisement