Anda di sini

Mengurut boleh dijadikan kerjaya profesional

Advertisement

Bagaimanapun individu yang menceburi bidang ini harus memiliki tauliah serta diiktiraf JPK

// Oleh Sandy Mark Luna //

 Fatimah (empat kiri) bergambar secara berkumpulan selepas melancarkan pusat kesejahteraan tersebut bersama Shirley (empat kanan) serta suami Shareef Van De Horst (tiga kanan), Zaid (tiga kiri) dan Penasihat Rafflesia Wellness Sdn Bhd Eddie Abdullah (dua kanan).

KENANGAN: Fatimah (empat kiri) bergambar secara berkumpulan selepas melancarkan pusat kesejahteraan tersebut bersama Shirley (empat kanan) serta suami Shareef Van De Horst (tiga kanan), Zaid (tiga kiri) dan Penasihat Rafflesia Wellness Sdn Bhd Eddie Abdullah (dua kanan).

KUCHING: Me­nguasai kemahiran dalam urutan bukan sahaja boleh dijadikan kegiatan sampingan untuk menambah pendapatan tetapi merupakan kerjaya profesional yang memberi pulangan lumayan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah berkata, individu yang menceburi bidang urutan itu bagaimanapun harus memiliki tauliah atau sijil khas serta diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

“Ia sebenarnya merupakan satu perniagaan yang berdaya saing tinggi kerana memerlukan banyak komitmen, sokongan daripada keluarga serta rakan-rakan dan pengalaman luas untuk berjaya dalam bidang tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan pusat penjagaan kesejahteraan, Rafflesia Wellness Sdn Bhd di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah JPK Sarawak Zaid Mat San dan Pengarah Urusan Rafflesia Wellness Sdn Bhd Shirley Hasmani Eddie.

Fatimah turut menyeru golongan wanita khasnya suri rumah atau ibu tunggal untuk menceburi bidang urutan dan menjalankan perniagaan itu dari rumah ke rumah atau di premis perniagaan bagi menambah pendapatan keluarga.

Bagaimanapun, katanya seseorang itu harus menjadi individu terlatih yang diiktiraf oleh JPK bagi menepati jangkaan pelanggan.

“Kita harus memastikan perkhidmatan yang disediakan adalah selaras dengan jangkaan pelanggan agar ia dapat disebar dari mulut ke mulut atau jika tidak baik, perniagaan tersebut tidak dapat berkekalan,” katanya.

Beliau berkata bidang urutan juga merupakan salah satu perkhidmatan yang dicari para pelancong, sama ada pengembara bajet atau mewah, selain daripada destinasi pelancongan, kebudayaan serta makanan.

Perkhidmatan itu katanya, turut disediakan di peringkat inap desa bagi pengembara bajet dan turut disediakan di hotel-hotel.

Shirley berkata, Rafflesia Wellness Sdn Bhd ditubuh pada 2010 di mana pusat pertamanya iaitu Rafflesia Spa diwujudkan di Kota Kinabalu Sabah yang menawarkan pelbagai terapi spa ala Bali.

Pada tahun lepas, syarikat itu menjadi penyedia latihan yang bertauliah di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di bawah JPK serta vendor pengendalian kursus pendek Terapi Spa di Wisma Wanita di bawah Jabatan Wanita dan Keluarga.

Beliau menambah, pihaknya juga membuka Rafflesia Wellness Training Academy di Metrocity di Matang yang mendapat pengiktirafan daripada Vocational Training Charitable Trust iaitu sebuah organisasi pengiktirafan bertaraf dunia dari United Kingdom, selain SLDN.

“Dunia perniagaan memang banyak cabaran. Sebagai wanita yang sudah mendirikan rumah tangga, sokongan daripada suami dan ibu bapa serta adik saya sangat penting untuk memberi dorongan, sokongan dan semangat pada setiap ketika,” katanya.

Advertisement