Anda di sini

Jawatankuasa Bencana Bahagian Sibu masih kumpul maklumat mangsa kebakaran

Advertisement

KUCHING: Jawatankuasa Bencana Bahagian Sibu masih lagi dalam proses mengumpul maklumat mangsa kebakaran yang melibatkan Rumah Jalak Kusau sepanjang 39 pintu di Tanjung Penasu, Bukit Aup, Sibu bagi membolehkan jumlah bantuan diberikan kepada mangsa dapat diagihkan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah berkata, jawatankuasa yang terdiri daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan diketuai residen itu akan menumpukan keperluan bantuan kepada mangsa, termasuk bantuan peralatan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya.

“Bagi bantuan segera, iaitu RM40 setiap seorang mangsa, ia terus diagihkan dan kita berharap dapat diselesaikan dalam masa dua tiga hari ini sementara bantuan kewangan lain terutama yang melibatkan jumlah besar seperti bantuan bahan binaan RM2,500 bagi setiap rumah akan diagih dalam masa terdekat.

“Bukan itu sahaja, kita juga akan meneliti sama ada mangsa yang terlibat mempunyai anak sekolah atau tidak kerana kita juga mempunyai bantuan peralatan sekolah kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan daripada Danawa Education dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang di pejabatnya di sini, semalam.

Dalam kejadian pada tengah hari Selasa lepas, rumah panjang terbabit musnah 100 peratus dan pihak bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke 13 rumah persendirian yang terletak berhampiran.

Fatimah memberitahu, dalam insiden kebakaran bantuan peralatan dapur dan pakaian harian turut diberikan kepada mangsa, yang berbentuk kewangan dan akan diagihkan selepas semua maklumat diterima.

Mengenai tempat tinggal sementara mangsa, beliau memberitahu bahawa mereka hanya mahu tinggal di khemah yang dibina berdekatan tempat kejadian.

“JKM menyediakan tempat tinggal iaitu di sekolah, namun atas permintaan mangsa sendiri yang mahu tinggal di khemah maka mereka tinggal di sana.

“Namun peranan JKM di sini adalah untuk memastikan makanan kepada mereka sentiasa ada,” katanya.

Fatimah berkata, beliau akan mengadakan lawatan ke tempat berkenaan pada minggu depan (23 Julai) dan berharap kesemua maklumat dan jumlah bantuan diperlukan sudah dapat disediakan.

Advertisement