Anda di sini

Tragedi menimpa atlet perahu layar Sarawak menyedihkan

Advertisement

KUCHING: Tragedi menimpa dua atlet perahu layar kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak dalam kemalangan jalan raya di Miri kelmarin mendapat perhatian Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau ketika dihubungi turut bersedih dengan kejadian meragut nyawa, Muhd Syafiq Alias, 15, atlet yang mewakili Sarawak pada temasya SUKMA XVIII tinggal kurang dua minggu lagi.

Abdul Karim yang juga Chef-De-Mission Sarawak berkata, pemergian atlet tersebut sedikit sebanyak memberi tamparan kepada kem SUKMA XVIII Sarawak.

“Takziah kepada keluarga atlet terbabit dan kepada rakan-rakan beliau dalam sukan perahu layar semoga terus berjuang untuk pasukan dan demi negeri Sarawak,” katanya di sini semalam.

Beliau berharap atlet-atlet SUKMA XVIII Sarawak sentiasa berhati-hati dalam apa-apa tindakan dan tugasan yang dilakukan supaya tidak mengundang perkara yang tidak diingini.

Abdul Karim menegaskan agar semua pengurus pasukan memastikan atlet-atlet di bawah jagaan mempunyai tahap disiplin tinggi.

“Tidak dinafikan perkara ini juga menjejaskan persiapan kontinjen Sarawak ketika SUKMA XVIII berbaki kurang dua minggu,” ujar beliau.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa bersama rakannya, Muhammad Syafiq Hasnan, 15, menaiki motosikal dipercayai dalam perjalanan ke jeti latihan dari pusat bandar Miri sebelum terbabit dalam kemalangan di Marina Bay kira-kira jam 1.

30 petang.

Motosikal dinaiki dua atlet terbabit dikatakan hilang kawalan ketika melalui selekoh jalan sebelum terbabas lalu terhumban ke dalam longkang besar setinggi kira-kira 10 kaki.

Kedua-dua mangsa pengsan, bagaimanapun Muhammad Syafiq hanya sedar sekitar jam 4 petang kelmarin sebelum berusaha keluar longkang bagi mendapatkan pertolongan sementera rakannya masih tidak sedar diri.

Mayat mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat Miri sebelum dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

 

 

Advertisement