Anda di sini

Kawalan keselamatan akan diperketat

Advertisement
 Morshidi (tengah) mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengelola SUKMA XVIII di Miri semalam.

DIJAMIN SELAMAT: Morshidi (tengah) mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengelola SUKMA XVIII di Miri semalam.

MIRI: Kerajaan Negeri memperketat kawalan keselamatan sepanjang Sukan Malaysia (SUKMA XVIII) bakal berlangsung di tiga bandar utamanya iaitu Kuching, Sibu dan Miri bagi membendung sebarang ancaman jenayah termasuk militian Islam.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani berkata langkah itu bagi memastikan kelancaran kejohanan melibatkan 24 acara dan seterusnya mengelak sebarang insiden buruk berlaku.

“Kita akan memastikan kawalan keselamatan di semua gelanggang bagi setiap acara sukan diperketatkan.

“Hanya penonton dan individu ada pas masuk dibenarkan memasuki kawasan acara dan kediaman atlet sepanjang temasya sukan itu,” katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan dan lokasi ketiga-tiga acara di sini semalam.

Beliau memberitahu, pasukan keselamatan terutama polis sudah dimaklumkan membuat persiapan sewajarnya bagi memastikan kelancaran dan kejayaan semua acara SUKMA berlangsung.

Katanya, seramai 634 atlet termasuk dari Brunei akan berkampung di Sarawak menjayakan kejohanan berprestij negara itu.

Beliau berpuas hati dengan semua persiapan dilakukan di sini sehingga semalam.

“Semua kemudahan termasuk gelanggang sukan, aspek pengangkutan, penginapan dan sebagainya sudahpun siap.

Kita hanya menunggu berlangsungnya acara itu yang dirasmikan pada 22 Julai ini,” katanya.

Lebih istimewa tarikh tersebut amat bermakna kepada negeri ini kerana 22 Julai adalah tarikh Hari Kemerdekaan Sarawak.

Sebelum sidang media, Mohd Morshidi mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pengelola SUKMA XVIII bagi Bahagian Miri di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini.

Turut hadir Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang juga Ketua Kontinjen Sarawak, ADUN Lambir, Ripin Lamat dan ketua-ketua serta wakil jabatan berkaitan.

Ini merupakan kali kedua Sarawak menjadi tuan rumah SUKMA selepas melakukannya pada 1990.

 

 

Advertisement