Anda di sini

Ahli Bumiputera SUPP tidak puas hati ‘senarai’ kaunselor MDLBS

Advertisement

SIBU: Ahli Bumiputera Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini melahirkan rasa tidak puas hati dengan ‘senarai’ nama kaunselor Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) dalam media sosial kebelakangan ini.

Tuai Rumah Steven Bana menyifatkan senarai nama kaunselor itu tidak betul dan tidak adil lebih-lebih lagi menyenaraikan nama tiga kaunselor daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP).

“Mengapa ada nama kaunselor daripada UPP sedangkan UPP bukan sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN). Kami membantah pelantikan kaunselor daripada UPP,” katanya di sini, semalam.

Steven memberitahu, mereka juga tidak berpuas hati dengan senarai nama itu memandangkan ada bekas kaunselor dilantik semula kali ini.

Katanya, tindakan itu seolah-olah tidak memberi peluang serta ruang kepada yang lain memegang jawatan tersebut.

“Mengapa melantik semula mereka yang pernah menjadi kaunselor sebelum ini. Mengapa tidak memberi peluang kepada muka baharu berkhidmat serta menunjukkan bakat mereka,” katanya.

Beliau turut mempersoal mengapa tidak ada wakil dari kawasan penempatan Bawang Assan dilantik sebagai kaunselor kali ini.

Katanya Bawang Assan yang memberi nama kepada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan adalah luas serta mempunyai sembilan rumah panjang dan lebih 900 pengundi.

“Tetapi tidak ada penduduk dari Bawang Assan dilantik sebagai kaunselor dalam MDLBS. Begitu juga dengan kawasan Bungan dan Sungai Pinang,” jelas Steven.

Kenyataan beliau itu disokong oleh Tuai Rumah Abell Mang yang berharap ada seorang wakil dari mana-mana parti komponen BN di Bawang Assan dilantik menjadi ahli majlis MDLBS.

“Kita mahu ada wakil dari Bawang Assan sama ada daripada SUPP, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) atau Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP),” katanya.

Hadir sama memberi sokongan Maja Nuing dari Nanga Tutus, Jawi Jemulang (Bukit Besai) dan Jomel Antau (Pasir Mas).

 

Advertisement