Anda di sini

Masyarakat Dayak digesa sokong kepimpinan Adenan

Advertisement

KUCHING: Presiden Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU), Tan Sri William Mawam Ikom menggesa masyarakat Dayak di negeri ini agar terus menyokong kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Sokongan berterusan katanya wajar diberikan apatah lagi selepas pelantikan ramai pemimpin Dayak bagi jawatan penting dalam kabinet negeri yang baharu dibentuk oleh Ketua Menteri baru-baru ini.

Menurut Mawan, pelantikan dua timbalan ketua menteri Dayak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Datuk Amar James Masing serta selain dua lagi menteri penuh Dato Sri Michael Manyin Jawong dan Datuk Dr Stephen Rundi membuktikan kerajaan Ketua Menteri adalah kerajaan untuk rakyat.

“Melihat kepada tindakan Ketua Menteri ini maka Dayak seharusnya terus menyokong kerajaan terutama polisi beliau untuk membawa lebih banyak pembangunan kepada rakyat di negeri ini.

“Antara polisi Adenan yang harus mendapat pujian rakyat ialah penurunan kuasa daripada kerajaan pusat kepada kerajaan negeri yang akan memanfaatkan keseluruhan rakyat di negeri ini,” katanya.

Mawan berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca oleh Bendahari Agung SDNU Christopher Gira pada makan malam tahunan SDNU Siol Kandis di Thian Court, Crown Square di sini kelmarin.

Tambah Mawan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan dan Ahli Parlimen Saratok, dengan polisi yang dibuat Adenan beliau berharap bahawa lebih ramai Dayak akan diberikan peluang pekerjaan pada masa akan datang.

Selain itu, Mawan turut menyokong penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua di negeri ini dalam usaha meningkat kemahiran dan penguasaan bahasa antarabangsa dalam kalangan rakyat negeri ini.

Pada majlis itu, Gira yang juga ADUN Tamin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 daripada Mawan bagi tujuan membantu cawangan menganjurkan aktiviti pada masa akan datang.

Turut hadir, Naib Presiden III SDNU Churchill Edward Drem yang juga Ketua Pemuda dan Pengerusi SDNU Cawangan Siol Kandis Pani Igoh serta yang lain.

Advertisement