Anda di sini

FAMA jangka RM1.2 juta kutipan bazar Ramadan, pra-Syawal MNS

Advertisement
 Paza (dua kiri) bersama Abdul Aziz (kiri) beraksi selepas pelancaran Jualan Khas Pra-Syawal MNS 2016 di Kuching, semalam.

PRA-SYAWAL: Paza (dua kiri) bersama Abdul Aziz (kiri) beraksi selepas pelancaran Jualan Khas Pra-Syawal MNS 2016 di Kuching, semalam.

KUCHING: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sarawak menjangkakan RM1.2 juta kutipan hasil jualan bazar Ramadan dan Jualan Khas Pra-Syawal Medan Niaga Satok (MNS) pada tahun ini.

Pengarah FAMA Sarawak Paza Dan berkata, hasil jualan kedua-dua acara tahunan FAMA itu dijangka meningkat berbanding tahun lepas, iaitu RM1 juta.

“Bagi Bazar Ramadan MNS 2016, setakat 30 Jun, kita berjaya memperoleh RM754,000 berbanding RM744,000 keseluruhan bulan Ramadan tahun lepas (2015) iaitu melepasi jumlah berkenaan.

“Untuk keseluruhan Bazar Ramadan dan Pra-Syawal 2015, kita mencatatkan RM1.09 juta dan menjangkakan RM1.2 juta hasil jualan bagi kedua-dua program berkenaan pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Jualan Khas Pra-Syawal MNS 2016 yang dihadiri Timbalan Pengarah FAMA (Pembangunan Usahawan) Su’udi Arof dan Pengurus MNS Abdul Aziz Abdullah di sini, semalam.

Menurut Paza, bagi program pra-Syawal ia diadakan bertujuan menyediakan kemudahan atau peluang kepada mereka yang meraikan Hari Raya Aidilfitri mendapatkan barang keperluan seperti daging, sayur, ayam dan buah-buahan di satu tempat sahaja.

“Kita adakan pra-Syawal ini selama dua hari bermula kelmarin (4 Julai) hingga hari ini (semalam) yang melibatkan 182 peniaga menjual pelbagai komoditi seta keperluan raya kepada pengunjung,” katanya.

Tambah Paza, FAMA menyediakan kemudahan kepada orang ramai selain keperluan Aidilfitra dan pada masa yang sama meningkatkan pendapatan peniaga yang terlibat.

Pra-Syawal juga berobjektifkan menjadikan MNS sebagai tempat pilihan utama pengguna mendapatkan barang keperluan segar sempena sambutan perayaan seperti daging, ayam dan sayuran.

Pengguna dan pembeli boleh mendapatkan barangan terus daripada pengeluar selain barangan segar, berkualiti dan dijual dengan harga berpatutan.

Ia merupakan program serampang dua mata untuk mempelbagaikan aktiviti dan galakan pengunjung ke MNS.

 

Advertisement