Anda di sini

Autonomi Sarawak belum dapat dinikmati manfaatnya

Advertisement

KUCHING: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen berkata autonomi yang dibanggakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem masih belum dapat dilihat meskipun telah diperkatakan lebih dua tahun lalu.

“Selepas lebih dua tahun, Adenan bercakap mengenai autonomi Sarawak, kita rakyat Sarawak tidak melihat autonomi dimaksudkan itu atau menikmati manfaatnya.

“Hakikatnya, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Adenan kini ‘menurunkan’ rundingan autonomi dengan mengemukakan memorandum (kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya.

Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dalam kenyataan akhbarnya mendakwa tindakan mengemukakan memorandum mengenai pendirian Kerajaan Negeri Sarawak merupakan satu pengakuan penurunan kedudukan Sarawak daripada ‘rakan sama rata’ kerajaan persekutuan seperti dibayangkan oleh Bapa Kemerdekaan Malaysia.

Dalam semua kes ujarnya, pihak yang ‘mengemukakan memorandum’ adalah tidak berkuasa untuk membuat keputusan atau dasar.

“Sebelum Pilihan Raya Negeri yang lalu, Adenan memberitahu rakyat Sarawak beliau ‘akan berunding’ di landasan sama dengan kerajaan persekutuan bagi penurunan kuasa kepada Sarawak.

“Sekarang, beliau (Adenan) telah ‘berundur’ dengan mengemukakan memorandum kepada Najib.

“Selepas Pilihan Raya Negeri, hubungan antara kerajaan persekutuan dan Sarawak telah kelihatan kembali kepada hubungan sebelum ini iaitu ‘Tuan dan Hamba’,” dakwanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa itu menambah, perubahan kedudukan seperti itu tidak boleh lebih ketara daripada perkara sebenar, sebelum Pilihan Raya Negeri lepas, Najib mendakwa beliau mengunjungi Sarawak lebih 53 kali, membuktikannya sayang kepada negeri ini.

“Namun selepas dua bulan berakhirnya PRN, jika perkiraan saya betul, Najib belum lagi mengunjungi Sarawak. Kelihatan Najib ‘sudah berhenti menyayangi’ Sarawak selepas BN (Barisan Nasional) menang besar,” tegasnya.

Menurut beliau lagi, fakta lain menunjukkan perubahan drastik kedudukan Sarawak ialah peruntukan bagi pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Chong berkata, sebelum PRN lepas, peruntukan untuk projek itu sepatutnya ‘melebihi’ peruntukan pembangunan normal untuk Sarawak.

Bagaimanapun katanya, selepas PRN jelas kelihatan peruntukan projek tersebut adalah daripada peruntukan pembangunan biasa untuk Sarawak, tiada peruntukan tambahan.

“Semua rakyat Sarawak termasuk BN Sarawak mesti menyedari hakikat bahawa BN mengamalkan pemusatan kuasa.

“Jika Adenan berpegang kepada kata-katanya, iaitu mahukan lebih kuasa dan autonomi untuk Sarawak, satu-satunya cara ialah BN Sarawak keluar daripada UMNO yang mengawal BN dan membentuk kuasa ketiga yang dapat menyeimbangkan kuasa di Putrajaya,” katanya.

 

Advertisement