Anda di sini

29 Ogos perbicaraan kes wanita tipu pelajar universiti

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret di sini semalam menetapkan 29 Ogos depan untuk perbicaraan kes seorang wanita yang dituduh menipu tiga pelajar sebuah universiti berhubung urusan sewa rumah membabitkan wang tunai RM3,510.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan lanjut RM3,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Pearly Chai, 35, dari Pujut 9 di sini didakwa atas tiga tuduhan menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebat serta boleh didenda jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan dihadapi.

Berdasarkan tuduhan pertama, tertuduh dengan curang memperdaya Phang Yeong Hua supaya mempercayai bahawa dia (tertuduh) berupaya menguruskan sewa rumah dan mendorong mangsa memasukkan wang tunai RM900 ke dalam akaun bank miliknya.

Manakala dalam tuduhan kedua, tertuduh memperdaya Evonne Chin supaya mempercayainya berhubung pengurusan sewa rumah dan mendorong mangsa memasukkan wang tunai RM840 dan RM420 ke dalam akaunnya.

Sementara dalam tuduhan ketiga, tertuduh turut memperdaya Vivian Puan berhubung urusan sama dan mendorong mangsa memasukkan wang tunai RM900 dan RM450 ke dalam akaun miliknya.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh jam 10 pagi, pada 10 Oktober 2015 di sebuah rumah di Desa Senadin di sini.

 

Advertisement