Anda di sini

Siasatan terbaik kes tembak Bill Kayong

Advertisement
MAZLAN

MAZLAN

SERIAN: Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor memberi jaminan siasatan berhubung kes tembak mati pemimpin PKR Bill Kayong akan dilakukan sebaik mungkin.

Bercakap pada sidang media di Pos JPG Bunan Gega, Mongkos dekat sini semalam, Mazlan berkata siasatan masih dijalankan membabitkan enam suspek yang direman berhubung kes ini.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mendedahkan maklumat hasil daripada siasatan yang sedang dijalankan oleh pasukan penyiasatan khas yang mengendalikan kes ini.

“Setakat ini siasatan masih dijalankan ke atas enam suspek yang direman sehingga 8 Julai ini yang menjurus kepada tiga elemen secara prinsipnya termasuk elemen lain yang mungkin timbul selepas ini,” katanya.

Ditanya jaminan kes ini dapat diselesaikan segera, Mazlan berkata penyelesaian kes ini tidak semestinya dapat diselesaikan dalam masa terdekat dan beliau tidak dapat mengesahkan bila ia dapat diselesaikan.

Tetapi katanya, pihak polis akan melakukan yang terbaik dalam siasatan dan menyelesaikan kes ini yang menarik perhatian umum.

Bill, 43, yang merupakan setiausaha PKR Miri ditembak mati dari jarak dekat dalam kejadian yang berlaku di lampu isyarat berdekatan sebuah pusat komersial di Tudan, 21 Jun lepas.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan enam suspek telah ditangkap dan direman bagi siasatan setakat ini.

Advertisement