Anda di sini

Letupan bom di Puchong angkara Daesh

Advertisement

KPN sahkan ia merupakan serangan pertama kumpulan militan Daesh di Malaysia

 Gambar dua suspek yang diburu dalam insiden kejadian letupan bom di sebuah pusat hiburan di Puchong pada 28 Jun lepas. — Gambar Bernama

SUSPEK: Gambar dua suspek yang diburu dalam insiden kejadian letupan bom di sebuah pusat hiburan di Puchong pada 28 Jun lepas. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam mengesahkan bahawa kejadian letupan bom tangan di sebuah premis hiburan di Puchong pada 28 Jun lepas merupakan serangan pertama kumpulan militan Daesh di Malaysia.

Insiden melibatkan pusat hiburan di IOI Boulevard itu mencederakan lapan orang.

Khalid berkata dua suspek insiden letupan bom itu ditahan di Pelabuhan Klang, Selangor, pada Jumaat lepas (1 Julai).

“Mereka merupakan antara 15 individu dipercayai terbabit aktiviti Daesh yang ditahan antara 28 Jun hingga 1 Julai lepas,” katanya sambil menambah dua lagi suspek yang merupakan dua anggota polis berpangkat rendah, ditahan di Pulau Pinang dan Kedah.

“Dua anggota polis ini merancang melakukan jenayah samun bagi membiayai kegiatan kumpulan Daesh dan turut melindungi anggota kanan kumpulan itu,” kata Khalid dalam sidang media di Bukit Aman di sini.

Sebelas suspek lain ditahan masing-masing enam di Kedah, Selangor (2), Kuala Lumpur (2) dan Melaka (1).

Kesemua 15 lelaki tempatan yang ditahan itu disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mengulas insiden letupan bom itu, Khalid berkata suspek bertindak selepas menerima arahan daripada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, iaitu anggota kumpulan pengganas Daesh Malaysia di Syria.

“Mereka menerima arahan daripada Muhammad Wanndy untuk melakukan serangan di pusat hiburan di negara ini.

“Selain itu, sasaran mereka adalah pemimpin kanan negara, polis serta hakim,” kata Khalid.

Menurut Khalid, siasatan awal mendapati mereka memperoleh bom tangan dipercayai model Perang Dunia Kedua yang digunakan dalam kejadian itu dari negara jiran.

“Turut dirampas pelbagai senjata tajam selain barangan seperti bendera kumpulan Daesh daripada suspek,” kata-nya sambil menambah siasatan terperinci masih dilakukan berhubung insiden itu.

Khalid seterusnya berkata polis kini mencari dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes serangan bom itu.

Mereka ialah Md Saifuddin Muji, 28, dan Jasanizam Rosni, 33, yang masing-ma-sing beralamat di Johor.

“Kami meminta orang ramai untuk segera melaporkan kepada polis jika melihat mereka,” katanya. — Bernama

Advertisement