Anda di sini

Lebuh India akan terus dinaik taraf

Advertisement

Untuk menjadikannya mesra pengunjung dan pada masa sama menjadi pusat tarikan pelancong di bandar raya Kuching: Abg Johari

// Oleh Nick Fletcher //

 Abang Johari (tiga kiri) bersama Abdul Wahap (kiri) semasa melawat ke Lebuh India, semalam.

CERIA: Abang Johari (tiga kiri) bersama Abdul Wahap (kiri) semasa melawat ke Lebuh India, semalam.

KUCHING: Pusat beli-belah bersejarah di bandar raya ini iaitu Lebuh India atau lebih dikenali sebagai India Street akan terus dinaik taraf untuk menjadikannya mesra pengunjung dan pada masa sama menjadi pusat tarikan pelancong.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, kerajaan negeri dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kini merancang mengecat bangunan-bangunan kedai bagi memberikan wajah baharu di pusat beli-belah tersebut.

“Kerajaan telah meluluskan peruntukan untuk mengecat semula kedai di sepanjang Lebuh India ini bagi menjadikan ia seperti sebuah pusat beli-belah yang terdapat di Singapura,” katanya sambil menjelaskan bahawa kos bagi projek tersebut masih dalam penilaian.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke Lebuh India dengan diiringi Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai semalam.

Terdahulu, Abang Johari berkata kerajaan telah menaik taraf Lebuh India dengan pembinaan laluan berbumbung dengan kos RM4.3 juta untuk keselesaan pengunjung agar tidak terdedah kepada cuaca panas dan hujan.

Bagaimanapun, katanya salah satu daripada struktur laluan berbumbung berkenaan senget menyebabkan sebahagian kedai di situ terjejas oleh limpahan air hujan.

Justeru, beliau berkata masalah tersebut akan ditangani segera di mana pihak konsultan telah diarah untuk membaik pulihnya.

Sementara itu, Abang Johari menambah bahawa kerajaan negeri dan DBKU juga akan melaksanakan rancangan untuk menaik taraf Carpenter Street dan Main Bazaar sebagai kawasan warisan.

“Kita akan menghubungkan dari Carpenter Street sehingga ke Main Bazaar sebagai satu kawasan warisan yang akan menarik para pelancong ke bandar raya ini,” katanya.

Advertisement