Anda di sini

Bantuan JKM untuk warga emas

Advertisement

Warga emas cacat akibat penuaan, pembedahan layak dapat kad OKU

KUALA LUMPUR: Warga emas yang mengalami kecacatan akibat proses penuaan atau pembedahan dan tidak berkemampuan menyara hidup dinasihatkan tampil berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan kad orang kurang upaya (OKU).

Anggota Majlis Kebangsaan bagi OKU, Senator K. Bathmavathi berkata dengan adanya kad OKU, mereka layak untuk menikmati pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan termasuklah dalam bentuk elaun, bantuan am dan potongan harga bagi perkhidmatan pengangkutan awam.

“Pada masa ini kesedaran mengenai perkara ini masih kurang dalam kalangan masyarakat (warga emas) di negara ini terutama mereka yang berada di kawasan kampung atau pedalaman kerana masih ramai mempunyai persepsi bahawa kecacatan akibat proses penuaan atau pembedahan bukan dikira sebagai OKU,” katanya kepada Bernama di sini.

Katanya, antara golongan warga emas yang layak mendapatkan kad OKU adalah mereka yang mempunyai masalah tidak boleh berjalan atau menggerakkan tangan secara kekal selepas melakukan pembedahan, kehilangan anggota tangan atau kaki akibat diabetes, buta disebabkan penyakit glaukoma, lumpuh anggota badan akibat strok, alzheimer (nyanyuk) dan parkinson.

“Sebelum mendaftar dengan JKM bagi mendapatkan kad OKU, mereka perlu mendapatkan pengesahan daripada doktor kerajaan atau swasta yang mengesahkan bahawa mereka mempunyai masalah kurang upaya,” katanya.

Bathmavathi yang juga Presiden Persatuan Wanita Kurang Upaya Malaysia berkata golongan warga emas OKU ini layak untuk menerima semua kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan kepada golongan itu.

“Mereka layak menerima kemudahan seperti potongan harga tiket bagi tambang pengangkutan awam dan menerima elaun bulanan seperti Elaun Pekerja Cacat (EPC) sebanyak RM350 dan bantuan am sebanyak RM250 bagi OKU tidak bekerja,” katanya.

Katanya, wakil rakyat di sesebuah kawasan kampung dan pedalaman berperanan bagi mengenal pasti warga emas yang mengalami kekurangan upaya untuk berdaftar dan mendapatkan kad OKU, seterusnya menerima bantuan yang disediakan JKM.

“Doktor yang bertugas di kawasan itu juga perlu prihatin untuk menghebahkan kepada golongan ini bahawa mereka layak untuk menerima bantuan seperti itu.

“Kita tidak boleh mengabaikan golongan ini kerana mereka juga sebahagian daripada masyarakat dan pada suatu masa mereka juga turut menyumbang kepada ekonomi dan pembangunan negara,” katanya. — Bernama

Advertisement