Anda di sini

Suria Sabah bantu promosi pelancongan Sabah

Advertisement
 Para peserta akhir Miss Sabah Tourism 2016 memperagakan koleksi raya terbaharu daripada Carlo Rino.

PROMOSI: Para peserta akhir Miss Sabah Tourism 2016 memperagakan koleksi raya terbaharu daripada Carlo Rino.

KOTA KINABALU: Suria Sabah yang menjadi pusat beli-belah rasmi bagi aktiviti Miss Sabah Tourism 2016, dapat membantu mempromosi pelancongan Sabah.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai berkata, Suria Sabah berpotensi besar untuk menarik pengunjung datang ke Sabah kerana ia adalah salah satu pusat beli-belah terbaik di Sabah.

“Aktiviti membeli belah adalah komponen yang penting untuk meningkatkan pelancongan Sabah kerana ia menjadi satu aktiviti wajib pelancong.

“Selain itu, saya juga percaya, program Miss Sabah Tourism ini dapat mempromosikan lagi apa yang ada di Sabah ini,” katanya ketika merasmikan Fesyen Mingguan Suria Sabah di sini kelmarin.

Joniston berkata, beliau pasti program itu dapat membantu STB dalam mempromosi dan mempertingkatkan lagi aktiviti pelancongan di Sabah.

Sementara itu, Pengarah Miss Tourism Sabah Weena Marcus berkata, program berkenaan bukan sahaja pertandingan kecantikan tetapi juga sebagai duta pelancongan.

“Miss Sabah Tourism bukan sahaja program pertandingan kecantikan wanita Sabah tetapi mereka akan menjadi duta pelancongan Sabah untuk memperkenalkan negeri ini ke seluruh dunia.

“Dengan adanya kerjasama antara Suria Sabah sebagai pusat membeli belah rasmi untuk program ini, dapat membantu peserta akhir Miss Sabah Tourism 2016 ini menjalankan tugas mereka yang diberikan dan membiasakan diri mereka sebagai duta kelak,” jelasnya.

Katanya, para peserta akhir Miss Sabah Tourism 2016 juga memperagakan koleksi raya terbaharu dari Carlo Rino.

“Metrojaya dan Carlo Rino turut mengambil bahagian dalam pertunjukan itu yang mana para peserta akhir Miss Sabah Tourism 2016 memperagakan koleksi raya terbaharu mereka sempena bulan perayaan,” katanya.

Advertisement