Anda di sini

Dua lelaki aktif dalam kegiatan jenayah ditangkap

Advertisement

KUCHING: Dua lelaki yang dipercayai aktif dalam kegiatan jenayah ditangkap di belakang sebuah kedai barangan elektrik di Batu Tujuh, Kota Sentosa, di sini.

Dalam kejadian sekitar jam 11 malam Sabtu lalu, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak dan Daerah Padawan sedang melakukan rondaan pencegahan jenayah dalam Ops Lejang dan Ops Pintu.

Polis mendapati gerak-geri kedua-dua lelaki itu yang berdiri di sebelah sebuah van mencurigakan dan mereka ditahan sebaik masuk kenderaan dan hendak beredar dari lokasi.

Pemeriksaan lanjut mendapati van itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan pernah dilaporkan hilang di Sungai Maong pada 11 Mei lalu.

Polis turut menemui dua batang besi kuku kambing, empat bilah parang, sebilah kapak, sebilah pisau, tiga pasang sarung tangan dan dua topi besbol dalam kenderaan tersebut.

Ketua JSJ Sarawak SAC Dev Kumar berkata, suspek-suspek yang masing-masing berusia 29 tahun dan 42 tahun itu pernah ditahan beberapa kali sebelum ini atas kesalahan dadah, merompak, pecah rumah dan curi.

Suspek yang lebih muda katanya, juga pernah disabitkan kesalahan pecah rumah dan curi pada 2010 dan dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun.

“Kita percaya suspek-suspek ini merupakan ahli kumpulan yang mengkhusus dalam rompakan, pecah rumah, curi kereta dan curi di Kuching, Padawan serta Kota Samarahan.

“Kedua-dua suspek akan disoal mengenai penglibatan mereka dalam kes-kes lain dan kita berharap dapat menyelesaikan beberapa kes dengan tangkapan ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dev berkata, pasukan Ops Lejang/Pintu itu ditubuhkan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor sebaik memegang jawatan itu sebagai usaha mengurangkan kes-kes jenayah harta di Sarawak.

Ops Lejang dan Ops Pintu pasukan adalah sebahagian daripada inisiatif Mansor yang lebih luas untuk mencegah jenayah seperti itu dan menangkap penjenayah yang terlibat.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan atas kejayaan mereka dalam menangkap kedua-dua suspek,” katanya.

Advertisement