Anda di sini

MASwings diminta kurangkan kadar tambang Limbang-Miri

Advertisement

LIMBANG: Syarikat penerbangan MASwings diminta memikirkan cara untuk mengurangkan kadar tambang penerbangan yang disifatkan agak membebankan bagi laluan Limbang ke Miri.

Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Komuniti, Dr Abdul Rahman Ismail berkata sudah tiba masanya syarikat penerbangan terbabit melakukan sesuatu mendengar rintihan dan rungutan rakyat.

Beliau berkata, pelbagai pendekatan boleh dilakukan termasuk mengadakan lebih banyak promosi termasuk mengenakan diskaun kepada pelanggan melakukan tempahan penerbangan lebih awal.

“Saya beranggapan kadar tambang bagi laluan Miri ke Limbang agak mahal berbanding laluan dari Miri ke Kuala Lumpur.

“Keadaan ini tidak begitu menyenangkan dan MASwings perlu melakukan sesuatu untuk mendengar rintihan dan rungutan rakyat,” katanya ditemui mengenai isu tambang penerbangan agak mahal bagi laluan Miri ke Limbang.

Jelas beliau, isu yang menghimpit penduduk di sini kerap disuarakan sebagai wakil rakyat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.

Pada masa ini, kerajaan tidak dapat mewujudkan peraturan mewajibkan syarikat penerbangan menetapkan kadar tambang kerana dibuat mengikut harga pasaran, permintaaan dan dasar syarikat mengendalikan penerbangan.

Bagaimanapun, kerajaan turut memberi subsidi kepada penerbangan luar bandar meliputi Twin Otter dan tidak membabitkan pesawat MASwings jenis ATR.

Dr Abdul Rahman juga mahu orang ramai menggunakan pengangkutan udara itu membuat tempahan lebih awal kecuali dalam kes kecemasan.

Advertisement