Anda di sini

Lapan rakan didakwa terlibat pembunuhan penganggur

Advertisement

ALOR GAJAH: Lapan rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas dakwaan terlibat dalam pembunuhan seorangpenganggur di sekitar Jasin dan Melaka Tengah antara bulan Mei tahun lepas hingga bulan Mei tahun ini.

M. Mahesawaran, 29; K. Jaya Prakash, 38; dan R. Navinkumar, 28, semuanya tidak mempunyai pekerjaan tetap didakwa secara bersama membunuh S. Manikumar, 38.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kebun Cina Kemendore di Selandar Jasin, Ladang Kelapa Sawit Bukit Senggeh Jasin, Ladang Kelapa Sawit di Jalan Sarang Burung Walit Bukit Senggeh Jasin, Kubur Cina Cheng di Melaka Tengah dan di Hutan Kelapa Sawit berhampiran Empangan Jus Selandar Jasin.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 10.30 malam 22 Mei tahun lepas dan 9.50 pagi 23 Mei tahun ini.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Penganggur S. Manoharan, 45, dan penjual ikan Charles S. John, 28, pula didakwa secara bersama menyebabkan hilang keterangan dengan kesalahan yang dilakukan iaitu membuang mayat seorang lelaki.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan. S. Babu, 21; G. Vijaya Kumar, 32; dan S. Govindasamy, 32, semuanya penganggur pula didakwa secara berasingan dengan niat hendak menyenangkan atau ketahuinya boleh menyenangkan kepada pakatan sesuatu kesalahan iaitu membuang mayat seorang lelaki.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 118 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun penjara atau denda jika sabit kesalahan.

Kelima-lima tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Hutan Kelapa Sawit berhampiran Empangan Jus Selandar Jasin pada masa dan tarikh yang sama.

Mahesawaran, Jaya Prakash, dan Navinkumar mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof dan tiada pengakuandirekodkan, sementara tertuduh lain tidak mengaku salah.

Terdahulu ketika prosiding Manoharan memohon kepada mahkamah membenarkan jaminan terhadap rakannya Charles kerana akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Nizam meminta mahkamah tidak memberi jaminan terhadap kesemua tertuduh kerana pertuduhan itu berkaitan dengan kes yang membawa hukuman mati selain kes melibatkan kepentingan awam.

Nor Azizah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap kelapan-lapan tertuduh sebelum menetapkan 3 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. — Bernama

Advertisement