Anda di sini

Perkasakan Ops Cantas Kongsi Gelap cegah kes tembak: NGO

Advertisement

Beberapa insiden kebelakangan ini timbulkan kebimbangan

KUALA LUMPUR: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) meminta polis memperkasakan kembali Ops Cantas Kongsi Gelap susulan insiden kes tembak sejak kebelakangan ini semakin menjadi-jadi.

Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia Tan Sri Musa Hassan berkata insiden itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat selain dilihat akan menggugat ketenteraman awam di negara ini.

“Saya berharap pihak polis dapat jalankan Ops Cantas kembali, berkemungkinan kejadian kes-kes tembak ini kerana wujudnya salah faham antara mereka (kumpulan kongsi gelap),” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sementara itu, Musa yang juga bekas Ketua Polis Negara turut menyarankan pihak berkuasa meningkatkan pe-nguatkuasaan di sempadan negara bagi menyekat penyeludupan senjata api ke negara ini.

“Pertingkatkan kerjasama risikan dengan negara-negara jiran juga harus dilakukan bagi mengekang kemasukan senjata api secara haram ini,” katanya.

Sepanjang bulan Jun sahaja, terdapat tiga kes tembak dengan yang terbaharu berlaku awal pagi semalam.

Seorang pengurus besar syarikat swasta cedera parah ditembak individu yang menaiki motosikal ketika memandu kereta di Lebuh-raya Utara Selatan dekat Desa Petaling awal pagi semalam.

Pada 21 Jun, dua kes tembak berlaku di tempat berasingan iaitu di Lutong, Miri, Sarawak  dan Jalan Besar, Sunway Batu Caves  di sini masing-masing mengorbankan satu nyawa dan mencederakan dua individu.

Dalam perkembangan lain, Musa berkata polis harus berhati-hati dengan pihak yang menubuhkan NGO kononnya untuk mencegah jenayah.

“Tolong periksa latar belakang mereka ini kerana kita tidak mahu mana-mana pihak mengambil kesempatan berselindung di sebalik NGO ini untuk mendapat-kan hasil daripada kegiatan haram yang dilakukan,” katanya. — Bernama

Advertisement