Anda di sini

Syabu bernilai RM4.7 juta disorok dalam besi peralatan sukan

Advertisement

SHAH ALAM: Tindakan licik sindiket pengedaran dadah menyeludup masuk syabu ke Malaysia dengan menyembunyikannya dalam besi peralatan sukan, terbongkar ekoran penahanan seorang lelaki warga India di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Amran Ramli berkata lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 11 malam di tepi Jalan Murai 1, Batu 3 Jalan Ipoh oleh sepasukan polis Narkotik Selangor yang dibantu anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.

“Hasil pemeriksaan kemudiannya menemukan sembilan kotak mengandungi alat senaman jenis ‘AB Circle Pro’ di mana setiap kotak mempunyai empat batang besi dan setiap satunya mengandungi sepeket plastik lutsinar panjang berisi bahan disyaki syabu.

“Jumlah keseluruhan besi ialah 36 batang yang mengandungi dadah seberat 78,844 gram yang bernilai RM4.7 juta. Turut dirampas ialah sebuah kereta Proton Exora bernilai kira-kira RM76,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, semalam.

Amran berkata penangkapan lelaki warga India itu dibuat selepas polis menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an di sebuah kondominium di Cyberjaya.

Polis turut merampas tiga beg plastik mengandungi 974.73 gram syabu bernilai kira-kira RM60,000 dari lelaki tempatan itu pada 7.15 petang, 23 Jun lepas.

Beliau berkata siasatan awal mendapati dadah itu dipercayai diseludup masuk ke Malaysia melalui pengangkutan udara dan penghantaran kali ini adalah yang keempat.

“Sebelum ini, sindiket itu berjaya menyeludup masuk dadah ke negara ini sebanyak tiga kali menggunakan modus operandi yang sama. Namun, percubaan keempat itu gagal.

“Sindiket ini dipercayai bergiat aktif kira-kira empat bulan lepas,” katanya sambil memberitahu pihaknya sedang menjejaki saki baki anggota sindiket itu.

Kedua-dua suspek, yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, direman bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. — Bernama

Advertisement