Anda di sini

Rombakan kabinet gambarkan ‘layanan’ kerajaan persekutuan kepada Sarawak

Advertisement

KUCHING: Rombakan kabinet persekutuan baharu menggambarkan bagaimana ‘layanan’ kerajaan persekutuan kepada Sarawak yang selama ini dianggap sebagai negeri deposit tetap kepada Barisan Nasional (BN).

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen mendakwa, persekutuan tidak melihat di sebalik kejayaan besar BN Sarawak yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, malahan kehilangan satu jawatan menteri penuh.

“BN Sarawak dengan jayanya mencapai keputusan baik pada PRN lepas bukan sahaja untuk negeri tetapi untuk BN secara keseluruhan.

“Pada masa yang sama Ketua Menteri bersama pasukannya sentiasa menyatakan tentang penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan kepada negeri tetapi pada akhirnya masih juga kehilangan satu jawatan menteri penuh.

“Saya percaya ini bukan cara untuk memberi ganjaran rakan sekutu BN dari persekutuan kepada BN Sarawak tetapi rombakan ini menggambarkan sebaliknya,” katanya.

Tambah Chong, selama ini BN Sarawak sentiasa memperjuangkan tentang penurunan kuasa kepada negeri selepas kemenangan besar mereka, tetapi sebelum itu berlaku, Sarawak sudah dikurangkan bilangan menteri penuhnya di persekutuan.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai rombakan kabinet persekutuan yang baharu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin (Isnin).

Pada barisan kabinet itu Sarawak hilang satu jawatan menteri penuh, iaitu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang sebelum ini dipegang Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang bertanding pada PRN lepas dan kemudiannya dilantik Timbalan Ketua Menteri.

Daripada barisan kabinet baharu itu, hanya Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Menurut Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching, jawatan Uggah itu sepatutnya diberi kepada Ahli Parlimen BN Sarawak.

Sehubungan itu beliau menyifatkan barisan kabinet baharu itu seolah-olah tidak setimpal dengan kemenangan besar BN Sarawak pada PRN lepas.

Advertisement