Anda di sini

Pemohon bantuan JKM disaran buka akaun bank

Advertisement

Kegagalan membuka akaun bank antara punca bantuan tidak dapat diberi kepada pemohon: Fatimah

// Oleh Mohamad Norhadie Sahari //

 Fatimah (dua kiri) pada sidang media di Miri semalam menyarankan pemohon bantuan baharu JKM membuka akaun bank dengan segera untuk membolehkan wang dikreditkan.

BUKA AKAUN BANK: Fatimah (dua kiri) pada sidang media di Miri semalam menyarankan pemohon bantuan baharu JKM membuka akaun bank dengan segera untuk membolehkan wang dikreditkan.

MIRI: Pemohon yang menerima kelulusan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disaran membuka akaun bank dengan segera bagi membolehkan bantuan dihulurkan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah berkata kegagalan membuka akaun bank antara punca bantuan tidak dapat diberikan kepada pemohon.

“Bagi mereka yang memohon skim bantuan JKM, mereka perlu memberi salinan muka surat pertama bank masing-masing kepada pegawai JKM agar bantuan bulanan dapat dikreditkan dalam akaun mereka,” katanya pada sidang media Pengurusan Kes Tertunggak Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir semalam.

JKM telah mengadakan perjanjian persefahaman dengan dua bank iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank bagi memudahkan pemohon menerima bantuan bulanan dengan lancar dan sistematik.

Fatimah memberitahu, daripada 45 pemohon di DUN Lambir hanya 28 pemohon dapat dihubungi sementara baki 15 pemohon gagal dikesan pengkaji kes.

“Kita menetapkan bahawa Indeks Pencapaian Utama (KPI) JKM ialah proses permohonan hanya dalam tempoh satu bulan dan termasuk keputusan sama ada pemohonan diluluskan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata wakil rakyat, tuai rumah serta ketua kaum perlu bekerjasama menyalurkan maklumat kepada JKM terutama bagi pemohon yang bertukar alamat atau gagal dihubungi.

“Kerajaan negeri menekankan golongan kurang berkemampuan atau susah wajar diberi bantuan agar mereka tidak berasa terbeban dengan kehidupan,” jelasnya.

Fatimah berkata, bagi permohonan yang diluluskan pemohon mula menerima bantuan bulanan JKM minggu pertama Julai depan.

“Bagi permohonan yang tidak diluluskan atau melibatkan kes ragu-ragu, maka pemohon boleh datang kepada JKM untuk membuat rayuan dan pegawai kami akan menyemak semula kes mereka,” katanya.

Fatimah turut mengakui bahawa jumlah permohonan bantuan melalui skim-skim sedia ada menyaksikan peningkatan ketara seterusnya menunjukkan kesedaran kumpulan sasar akan bantuan JKM.

“JKM juga melaksanakan Geran Pelancaran kepada ibu-ibu tunggal memulakan perniagaan kecil-kecilan bagi menjana pendapatan mereka selain menerima bantuan bulanan JKM,” katanya.

Fatimah berkata ini sebagai inisiatif kepada ibu-ibu tunggal menambah pendapatan bulanan melalui aktiviti ekonomi dengan berniaga kecilan seperti membuat kek dan sebagainya.

Hadir sama Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat Dr Abdul Rahman Ismail serta pegawai-pegawai JKM Miri.

Advertisement