Anda di sini

Bentuk awan luar biasa disebabkan fenomena cuaca

Advertisement

Ia adalah garis badai berserta kejadian awan bergulung

KUALA LUMPUR: Kejadian bentuk awan luar biasa di kawasan Pantai Barat Sabah awal pagi semalam disebabkan fenomena cuaca yang dinamakan sebagai garis badai berserta kejadian awan bergulung.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Panglima Madius Tangau berkata, awan jenis bergulung tidak berbahaya berbanding garis badai dan sebelum ini pernah berlaku di Kota Kinabalu pada Ogos 2012, Sungai Petani Kedah (2014) dan di Kota Baharu (Ogos 2015).

Beliau berkata garis badai merupakan sekumpulan barisan awan ribut petir yang bergerak dari arah laut ke daratan dan selalunya berlaku ketika Monsun Barat Daya iaitu dari Jun hingga September di kawasan pantai barat Sabah dan juga di Selat Melaka.

“Panjang garis badai boleh mencapai ratusan kilometer dan mempunyai tempoh hayat yang agak lama iaitu beberapa jam berbanding ribut petir biasa.

“Garis badai boleh menghasilkan angin kencang melebihi 32 kilometer sejam dan hujan lebat yang meluas,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini semalam.

Sementara itu menurutnya awan jenis bergulung terbentuk disebabkan oleh ricihan angin menegak iaitu terdapat perbezaan ketara kelajuan dan arah angin.

Susulan pembentukan garis badai di pesisir pantai di Pantai Barat Sabah dan Labuan pada sebelah malam dan bergerak ke daratan pada awal pagi, Jabatan Meterologi telah mengeluarkan amaran ribut petir untuk pantai Barat Sabah dan Labuan dan amaran cuaca buruk penerbangan pada awal pagi semalam. — Bernama

Advertisement