Anda di sini

Perkasa semangat jadi masyarakat penyayang

Advertisement

MIRI: Masyarakat penyayang dalam sebuah kawasan kediaman akan terserlah melalui hati penyayang yang wujud dalam diri setiap penduduk.

Menteri Muda Pengangkutan Darat, Udara dan Keselamatan Datuk Lee Kim Shin berkata, tanpa keprihatinan terhadap nasib golongan memerlukan mustahil untuk mencapai misi tersebut.

“Selain kerajaan, masyarakat harus tampil membantu. Kita harus kuatkan semangat penyayang. Jika hati kita penyayang, akan ada masyarakat sejahtera dalam sebuah negara yang aman dan damai, “ jelas Lee.

Perkara itu disampaikan semasa program Untaian Kasih Ramadan anjuran jawatankuasa Rukun Tetangga (RT) Kampung Pujut Tanjung Batu di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata, setiap agama menitikberatkan amalan dan perbuatan kebaikan dalam kehidupan yang pastinya akan memperoleh rahmat daripada Tuhan.

Kepada golongan mampu, mereka tidak harus meminggirkan golongan daif yang sakit, tua termasuk ibu tunggal dan balu kerana derma dihulur bagi meringankan rasa kesusahan hidup.

“Ketika musim perayaan ini, kita mahu meraikan perayaan dalam suasana gembira dan mesra. Bantuan memberi suasana Hari Raya, tidak rasa tersisih kerana tidak mampu meraikannya,” ujar Lee.

Selain itu, Lee turut mengulas tentang pentingnya semangat kejiranan terhadap keselamatan kediaman daripada gejala sosial dan jenayah.

Setiap jiran harus bertindak membantu jiran lain berdepan situasi kecemasan seperti kebakaran dan kesusahan tanpa mengira waktu sekiranya diperlukan.

Untuk program semalam, seramai 10 balu terdiri daripada ahli dan ibu ahli Jiran Wanita dan RT menerima sumbangan duit raya dan makanan diagihkan sendiri ke kediaman penerima.

Makanan adalah beras 10 kilogram, gula, minyak masak, air sirap oren, Milo dan roti. Turut serta ialah Penolong Pegawai Perpaduan Miri Ikhwan Hanapi dan Pengerusi RT Ishak Baijuri.

Advertisement