Anda di sini

Kongres Sedunia Menentang Hukuman Mati buka ruang belajar daripada pelbagai negara

Advertisement

KUCHING: Kongres Sedunia Menentang Hukuman Mati membuka ruang kepada peserta untuk belajar daripada pelbagai negara termasuk yang melaksanakan hukuman mati, negara yang memansuhkan hukuman mati, cabaran dalam memansuhkan hukuman mati serta bagaimana mereka melakukannya.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, pada masa ini, di Malaysia hukuman mati adalah wajib bagi 12 kesalahan manakala 20 kesalahan lain yang boleh dihukum dengan hukuman mati adalah mengikut budi bicara.

Katanya antara contoh-contoh kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman mati mandatori termasuk kes pembunuhan, pengedaran dadah dan kesalahan yang berkaitan keselamatan.

“Di Malaysia, kita mempunyai beberapa perlindungan dalam undang-undang dan amalan untuk melindungi hak-hak hukuman mati yang dihadapi tertuduh, antara lain hak untuk segera memaklumkan mengenai sifat pertuduhan terhadap beliau, hak untuk memilih wakil undang-undang sendiri dan juga hak untuk perbicaraan yang adil oleh tribunal yang berwibawa, bebas dan saksama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili Malaysia pada Kongres Sedunia Menentang Hukuman Mati Keenam yang berlangsung di Oslo, Norway yang berakhir 23 Jun lalu.

Tambahnya, meskipun Malaysia secara amnya mematuhi piawaian antarabangsa termasuk perlindungan yang relevan, kedudukan negara ini terhadap hukuman mati sentiasa tertakluk kepada kritikan kebangsaan dan antarabangsa.

“Antara kritikannya ialah walaupun hukuman mati telah ditetapkan ke atas pesalah, ia hanya akan dilaksanakan ke atas salah laku jenayah yang paling serius dan tidak wujud keraguan bahawa tertuduh benar-benar bersalah,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Nancy memberitahu, Jabatan Peguam Negara telah diberikan tugas untuk menjalankan kajian menyeluruh berhubung hukuman mati di Malaysia.

Kajian ini telah dijalankan oleh Pusat Antarabangsa untuk Undang-undang dan Pengajian Perundangan (I-Cells) dan Jabatan Peguam Negara akan menyediakan kertas kerja untuk pertimbangan Kerajaan Malaysia.

“Terdapat tanda-tanda positif dan momentum yang stabil terhadap perubahan dalam perundangan hukuman mati di Malaysia,” tegas beliau.

Advertisement