Anda di sini

Agro Bazaar gerak ekonomi pekan kecil

Advertisement
 Richard  menyampaikan cenderamata kepada Uggah sambil disaksikan Masir, Harden, Mong, Nyalau dan Dr Rayong di Sri Aman, semalam.

UNTUKMU: Richard menyampaikan cenderamata kepada Uggah sambil disaksikan Masir, Harden, Mong, Nyalau dan Dr Rayong di Sri Aman, semalam.

Kementerian Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar cadang pembukaan Agro Bazaar

Oleh Edwin Raoh //

SRI AMAN: Kementerian Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar mencadangkan pembukaan Agro Bazaar di setiap pekan kecil di negeri ini.

Menterinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penubuhan Agro Bazaar penting demi menggerak aktiviti ekonomi di semua pekan kecil yang dilihat terpencil dan kurang dikunjungi orang ramai di negeri ini.

Menurutnya, sebagai contoh hasil lawatannya ke pekan Debak dan Spaoh di Betong mendapati lokasi itu mempunyai aktiviti ekonomi seperti menjual ikan dan kuih-muih kepada orang ramai.

Tetapi aktiviti seperti itu belum cukup untuk menggerak ekonomi pekan kecil, tambahnya.

“Sekiranya Agro Bazaar wujud di pekan kecil maka ia secara tidak langsung dapat menarik kedatangan petani luar bandar menjual hasil masing-masing di situ,” katanya.

Uggah berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Kesyukuran dan Makan Tengah Hari sempena pelantikan beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri di Dewan Suarah Sri Aman di sini, semalam.

Selain itu beliau mencadangkan pembukaan Agro Bazaar di pekan kecil termasuk pekan Spaoh dan Debak, Betong bagi setiap sebulan sekali dan ia akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi dalam sesebuah pekan itu.

“Saya yakin penubuhan Agro Bazaar akan mentransformasi ekonomi setiap pekan kecil ke skala industri terutama melibatkan aktiviti pengeluaran makanan di negeri ini.

“Sekiranya penubuhan Agro Bazaar menjadi kenyataan maka tidak mustahil kerajaan mampu menjadikan kawasan luar bandar Sarawak sebagai gedung pengeluaran makanan bagi menampung permintaan bandar besar dan luar negara pada masa akan datang,”kata Uggah.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Kujat, Menteri Muda Pembangunan Ekonomi Luar Bandar (Kawasan Pedalaman dan Perladangan) dan Perladangan Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyalau Badak, ADUN Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa, ADUN Bukit Begunan Datuk Mong Dagang, Residen Sri Aman Johnathan Lugoh, Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman Richard Tawan Sedu dan para pegawai kerajaan di sini.

Advertisement