Anda di sini

100 terima duit raya daripada pertubuhan sukarelawan Cina

Advertisement

MIRI: Pertubuhan sukarelawan masyarakat Cina, Miri Che Lee Khor Moral Uplifting Society tampil menghulur sumbangan duit raya dan makanan kepada hampir 100 masyarakat Islam memerlukan di sini pada majlis di premis pertubuhan di pusat komersial Pelita semalam.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang memuji usaha pertubuhan tidak mengenal latar belakang dan agama dalam melaksanakan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

“Walaupun ramai ahli kaum Cina, ia semasa sekali tidak menghalang mereka berbakti kepada golongan memerlukan daripada kaum lain.

“Usaha mereka ini menggambarkan keharmonian kaum dan agama dipraktikkan rakyat pelbagai kaum di Sarawak,” katanya.

Beliau menambah kata, sumbangan turut menggambarkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat.

Selain Hari Raya, derma turut dihulur semasa perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Gawai bagi membolehkan golongan kurang berkemampuan meraikan bersama hari perayaan bersama keluarga, jiran dan rakan.

Ahmad Lai mahu persefahaman dan perpaduan kaum yang menjadi kebanggaan dan keistimewaan rakyat Sarawak akan terus terpelihara demi kemakmuran dan pembangunan negeri.

Sebagai tanda sokongan terhadap pertubuhan, Ahmad Lai menyumbang peruntukan geran berjumlah RM20,000.

Salah seorang penerima, Masyitah Bohari dari Kampung Pujut Tanjong Batu memuji dan tersentuh dengan sumbangan yang diterima.

Masyitah berkata, derma itu sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan persiapan keluarga meraikan hari lebaran yang bakal tiba.

Advertisement