Anda di sini

UMNO pandang serius anggota langgar peraturan

Advertisement

Sepatutnya tindakan diambil lebih awal, kata Tengku Adnan

KUALA LUMPUR: Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada UMNO menunjukkan parti itu memandang serius perbuatan anggotanya yang melanggar peraturan parti, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Keputusan ini dilakukan kerana parti memandang serius perbuatan anggotanya…apa tah lagi seorang Timbalan Presiden dan Ketua Perhubungan Negeri yang duduk bersekongkol dengan parti lawan untuk menentang parti dan kerajaan.

“Jadi, saya ingat wajar tindakan ini diambil… sepatutnya tindakan diambil lebih awal,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn di sini, kelmarin, presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Muhyiddin, yang sebelum ini digantung daripada jawatan Timbalan Presiden, dipecat daripada UMNO bersama-sama Mukhriz kerana melakukan pelanggaran disiplin.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula digantung keanggotaannya sehingga Majlis Tertinggi UMNO menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin parti.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa pula berkata isu berhubung Muhyiddin, Mukhriz dan Mohd Shafie telah banyak kali dibangkitkan namun tindakan disiplin sering ditangguhkan sehingga mereka dengan jelas melakukan perlanggaran disiplin.

“Saya berpendapat dalam politik, tiada seorang pun lebih besar daripada parti. Sesiapa yang pilih untuk melanggar peraturan parti jawapannya adalah berbalik kepada tindakan disiplin. Malangnya, perkara ini berlaku di atas kehendak pihak berkenaan, bukan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Anggota Majlis Tertinggi Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata keputusan pemecatan itu tidak akan memudaratkan parti kerana Muhyiddin dan Mukhriz sudah lama tidak membantu parti.

“Saya harap ini adalah nasihat atau peringatan kepada anggota UMNO lain… apabila kita masuk parti, ia untuk berjuang, kita tidak boleh kecewa dan derhaka terhadap parti,” katanya.

Di JITRA, anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz adalah wajar dilakukan daripada membiarkan mereka terus menggunakan platform UMNO untuk mengecam kepimpinan Najib. — Bernama

Advertisement