Anda di sini

Program CSR akan terus dilaksana

Advertisement

PEKEMA S’wak tetap membantu biarpun ekonomi global tidak menentu

// Oleh Mohd Shafik Ahmad //

KUCHING: Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Sarawak tetap melaksanakan program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dalam membantu golongan memerlukan meskipun berdepan cabaran ekonomi global yang tidak menentu kata Pengerusinya, Dato Sri Abang Khalid Tan Sri Datuk Amar Abang Marzuki.

Menyedari cabaran tersebut, katanya PEKEMA Sarawak akan terus berusaha memastikan program CSR terus dilakukan.

“Kita tetap akan lakukannya (CSR) walaupun berdepan cabaran ekonomi tidak menentu sekarang ini yang dilihat turun naik,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri program beli-belah bersama 100 anak yatim di Pasar Raya Jun Rong, Taman Sukma di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Khalid mendedahkan pihaknya memperuntukkan sejumlah RM500,000 untuk kegunaan aktiviti CSR pada tahun ini.

Menjelaskan perkara itu beliau berkata sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi program CSR semasa perayaan untuk diagihkan kepada golongan sasar.

“CSR perayaan melibatkan bantuan kepada golongan orang kurang upaya (OKU), anak yatim, warga emas dan orang kurang berkemampuan,” ujarnya.

Sementara bercakap mengenai program beli-belah, Khalid berkata ia merupakan salah satu aktiviti dari program CSR PEKEMA Sarawak.

Beliau berharap agar sumbangan tersebut dapat menceriakan anak-anak yatim di sekitar bandar raya ini sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang tinggal kurang dari sepuluh hari lagi.

Difahamkan program sama akan dilakukan bersama warga emas dan pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) selepas ini.

Dalam perkembangan lain, PEKEMA Sarawak turut menyediakan bantuan pendidikan kepada para pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.

Menurutnya, di bawah skim bantuan pendidikan, PEKEMA memperuntukkan bantuan awal kewangan berjumlah RM1,000 untuk pengajian di dalam negeri Sarawak, manakala RM1,500 (Semenanjung Malaysia) dan RM2,500 untuk pengajian luar negara.

Advertisement