Anda di sini

Muhyiddin dan Mukhriz dipelawa sertai Gerakan Selamatkan M’sia

Advertisement

MIRI: Parti Tindakan Demokratik (DAP) membuka pintu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk menyertai Gerakan Selamatkan Malaysia (GSM)

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Nasional, Wong Kah Woh berkata dalam Deklarasi Rakyat, DAP sentiasa mengalu-alukan semua pihak dan latar belakang untuk menyertai Gerakan Selamatkan Malaysia.

“Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir boleh menyertai kita dalam Gerakan Selamatkan Malaysia sekiranya mereka menyokong propaganda kita.

“Kita juga tahu kira-kira tiga juta ahli UMNO turut menyatakan minat,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Kelmarin, Majlis Tertinggi (MT) UMNO memecat Timbalan Presiden yang digantung, Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana melakukan perlanggaran disiplin.

Wong juga Ahli Dewan Undangan Negeri Canning, berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru menunjukan keangkuhan pucuk kepimpinan UMNO.

“Bahkan, mereka juga menunjukkan keangkuhan dan keyakinan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lebih awal iaitu antara enam bulan lebih awal dari tempoh pembubaran Parlimen dan DUN,” katanya.

Wong berkata sekiranya PRU Ke-14 diadakan lebih awal, DAPSY katanya akan mempersiap jentera pilihan raya lebih awal dan agresif untuk bertempur dalam pilihan raya terbabit.

“Kita akan mengekalkan formula kemenangan pilihan raya lalu, untuk menarik pengundi muda serta pengundi baharu memihak kepada kita melalui pelbagai aktiviti yang akan dilaksanakan,” katanya.

Pada masa sama, DAP juga akan mengadakan konvesyen di Kuala Lumpur minggu hadapan bagi menentukan hala tuju perjuangan parti serta membincangkan propanda PRU Ke-14.

“Kali ini DAPSY telah memulakan langkah awal ke Miri, Sarawak sebagai persiapan menghadapi PRU, meskipun kita telah tewas di kerusi Piasau, namun kita harus bermula sekali lagi untuk meraih sokongan pengundi,” katanya.

Hadir sama ialah ADUN Pujut, Dr Ting Tiong Choon , Pengerusi DAPSY Sarawak, yang juga ADUN Padungan, Wong King Wei, serta bekas ADUN Piasau, Alan Ling.

Advertisement