Anda di sini

KKM diminta tunai janji naik taraf Hospital Betong

Advertisement

Tindakan segera perlu untuk sedia khidmat lebih baik

// Oleh Saleman Senin //

BETONG: Tiada ada sebarang pemantauan apatah lagi  proses melaksanakan projek naik taraf  dijanjikan bagi Hospital Betong semasa lawatan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam ke hospital berkenaan pada 31 Mac lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu mengharap pihak Kementerian Kesihatan Malaysia  (KKM) mengotakan janji dan memberi prioriti kepada Hospital Betong sebagaimana yang dijanjikan.

“Seperti mana kita lihat disini, janji yang disebut pada lawatan kerja tersebut bersama Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ketika itu, Datuk Amar Douglas Uggah Embas masih belum ada tindakan daripada pihak berwajib.

“Kita mahu tindakan yang sewajarnya daripada KKM dan mengotakan janji yang telah diumumkan kepada rakyat. Kita mengambil serius perkara ini kerana Dr Subramaniam telah mengumumkan dan rakyat tetap akan menagih janji yang dibuat.

“Antara janji disebut ketika itu ialah menaik taraf bangunan Hospital Betong dan membuka lebih luas ruang Unit Haemodialisis serta wad pesakit umum (lelaki/wanita),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada lawatan pertamanya sejak dilantik sebagai ADUN Layar ke Hospital Betong dan penyampaian hamper kepada pesakit sempena Hari Raya Aidilfitri 2016 dekat sini kelmarin.

Tambahnya lagi, ada beberapa perkara yang harus diambil serius untuk tindakan selanjutnya nanti termasuk menambah perkhidmatan ambulans yang tidak mencukupi untuk kegunaan menghantar pesakit yang memerlukan rawatan lanjut doktor pakar.

“Saya melihat ada keperluan yang mendesak untuk tindakan kerajaan menangani masalah berkaitan naik taraf Hospital Betong.

“Hospital ini bukan sahaja untuk penduduk sekitar malah merangkumi empat DUN iaitu rakyat di DUN Bukit Saban, Saribas dan Beting Maro selain pesakit dari luar yang turut datang ke sini.

“Seperti keperluan perkhidmatan ambulans yang perlu ditambah bilangan kerana belum mencukupi untuk kegunaan pesakit.

“Hari ini sahaja kita lihat keperluan ambulan, kebetulan ada kes kemalangan yang melibatkan keluarga dari Kuching yang memerlukan kes kecemasan membawa pesakit ke Hospital Umum Sarawak(HUS) untuk rawatan selanjutnya,” ujarnya.

Advertisement