Anda di sini

Ilmu asas penting hadapi situasi cemas, kebakaran

Advertisement

Beri pendedahan awal khasnya kepada pelajar: Bomba

Oleh Kepu Sidi //

BINTANGOR: Seramai 1065 pelajar, guru dan kakitangan sokongan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong, dekat sini semalam mengikuti sesi latihan pencegahan kebakaran dan pengosongan bangunan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin berkata, program ini dianjurkan bagi memberikan pengetahuan asas kepada pelajar amnya, mengenai langkah keselamatan dan tindakan sewajarnya apabila berhadapan dengan situasi kebakaran.

“Aktiviti dan kerjasama sebegini amat penting dan diingini  bomba bagi mencegah segala kemungkinan buruk seperti  kerugian dan kemusnahan atau kematian.

“Kita amat mengalu-alukan semua pihak, khususnya sekolah bekerjasama  bagi menganjur program serupa untuk kebaikan bersama,” kata Nicholas ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan tersebut selesai dianjurkan, semalam.

Dalam sesi latihan pada kali ini, warga sekolah terbabit telah didedahkan dengan situasi kecemasan kebakaran yang berlaku di Bengkel Automotif sekoalh terbabit.

Pada situasi ini, dua mangsa terperangkap dan pengsan di dalam bengkel berkenaan.

Di atas situasi tersebut, bomba berusaha mengeluarkan dan menyelamatkan mangsa, di samping warga sekolah lain bertindak menyelamatkan diri dan berkumpul di kawasan selamat, mengikutkan peraturan keselamatan diri yang betul.

Menurut Nicholas, pelajar harus diajar dan dilatih menyelamatkan diri apabila menghadapi situasi getir terutama semasa berlaku kebakaran.

“Pendedahan seperti ini mampu mengurangkan risiko mereka menghadapi bahaya semasa kebakaran kerana mereka tahu tentang langkah keselamatan yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan situasi tersebut.

“Sehubungan itu kepada golongan pelajar terutama tinggal di asrama harus diberi pengetahuan mengenai perkara tersebut terutama langkah menyelamat diri apabila berhadapan situasi kebakaran agar tidak panik dan bertindak sembarangan,” kata Nicholas.

Tambah Nicholas, penganjuran program ini mendapat sambutan yang amat baik dari semua pihak sekolah terbabit.

“Di sepanjang program ini berlangsung, semua pihak telah memberikan kerjasama dan respon yang terbaik.

“Ternyata semua pihak begitu teruja dan menjalani latihan ini dengan baik sekali, dan kita berharap setiap pengetahuan yang telah diperoleh pada masa latihan ini nanti akan dipergunakan dengan sebaiknya,” tegas Nicholas lagi.

Sesi latihan ini telah diadakan bertempat di Dewan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Meradong dan telah dikendalikan oleh Pegawai Bomba, Gara Ensonin bersama dengan enam orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia, Bintangor.

Advertisement