Anda di sini

Lagi kes tumpahan merkuri di sekolah

Advertisement
 Dua anggota bomba sedang melakukan pembersihan selepas tumpahan cecair merkuri di Bilik Guru SK Kampung  Baru, Kapit pagi semalam.

BERSIH: Dua anggota bomba sedang melakukan pembersihan selepas tumpahan cecair merkuri di Bilik Guru SK Kampung
Baru, Kapit pagi semalam.

SIBU: Kejadian tumpahan merkuri di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Kapit dan beberapa insiden seumpamanya sejak kebelakangan ini perlu diambil perhatian terutama dalam penjagaan keselamatan cecair berbahaya tersebut.

Dalam kejadian pagi semalam, seorang murid sekolah itu difahamkan secara tidak sengaja  menyebabkan termometer mengandungi cecair merkuri jatuh ke lantai di bilik guru sekolah berkenaan.

Pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada seorang guru sekolah terbabit pada jam 8.15 pagi.

Setiba di lokasi kejadian, pasukan bomba bertindak melakukan khidmat khas operasi membersih tumpahan bahan kimia tersebut.

Selepas dikenal pasti pihak PGO Sarawak dan atas nasihat pakar HAZMAT Negeri Sarawak, pasukan bomba dari BBP Kapit diketuai oleh PBK11 Andrew Puiing dan EMRS seramai tiga anggotanya lengkap dengan alat pernafasan telah bertindak menabur serbuk ‘sulfur’ ke atas permukaan bahan merkuri serta menggunakan pita pelekat untuk membersih sisa-sisa pada permukaan lantai.

Bahan kimia tersebut telah disimpan di dalam bekas bertutup manakala permukaan lantai terjejas dibersihkan dengan bahan pencuci klorox bagi memastikan kebersihan maksimum pada permukaan lantai.

Menurut jurucakap bomba, bekas itu telah diserahkan kepada pihak sekolah sebelum ia diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk pelupusan dan rekod manakala operasi selesai dalam masa 40 minit.

Untuk rekod, kes tumpahan merkuri berkenaan merupakan kes keempat berlaku di negeri ini termasuk di Hospital Lawas (16 Jun ini), SMK Jalan Oya (20 Jun) dan Hospital Lundu pada 22 Jun lalu.

Merkuri juga dilabel sebagai HG atau ‘hydrargyrum’ bermaksud cecair perak dalam bahasa Latin, satu bahan bertoksik kepada manusia.

Merkuri sebagai bahan neurotoksin boleh menyebabkan kerosakan kekal pada otak dan mudah diserap oleh badan manusia.

Pihak sekolah digalakkan menggunakan termometer digital sebagai satu langkah terbaik untuk mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini pada masa depan.

Advertisement