Anda di sini

Polis sedang kenal pasti pembunuh sebenar warga tua

Advertisement
SIAPA PEMBUNUH SEBENAR? : Polis masih kenal pasti siapa antara tiga suspek yang membunuh warga emas di Sibu Jaya.

SIAPA PEMBUNUH SEBENAR? : Polis masih kenal pasti siapa antara tiga suspek yang membunuh warga emas di Sibu Jaya.

SIBU: Pihak polis di sini sedang mengenal pasti siapa antara tiga suspek menjadi pembunuh sebenar berhubung kes bunuh seorang lelaki warga emas dikenali sebagai Louis Lumpang, 65, di Sibu Jaya pada 13 Mac lalu.

Ketiga-tiga suspek  telah diperintah reman untuk membantu siasatan lanjut pihak polis.

Terdahulu, suspek berumur 22 tahun telah direman sehingga Ahad ini manakala dua lagi berumur 17 dan 16 tahun direman bermula hari ini (22 Jun) sehingga Selasa depan.

Menurut pihak polis, dua suspek berumur 22 dan 17 tahun didapati positif dadah setelah menjalani ujian air kencing.

Semalam, pasukan D7 diketuai pegawai penyiasat kanan (SIO) ASP Sylvarius Gopog telah membawa tiga suspek terbabit untuk untuk menjalani pemeriksaan darah dan DNA (Asid Deoksirbonukleik) di Hospital Sibu pada jam 10 pagi.

Sebelum itu, polis mengiringi dua suspek berumur 17 dan16 tahun pergi ke Mahkamah Sibu untuk mendapatkan perintah reman selama tujuh hari.

Difahamkan hanya dua antara suspek dipercayai terlibat dalam pembunuhan tidak berperikemanusiaan itu.

Dalam kejadian pada jam kira-kira 1.15 pagi 13 Mac lalu, pasangan warga tua terbabit sedang berjalan pulang ke rumah mereka di Town Villa, 2 Jaya apabila dua suspek lelaki datang dari belakang dan cuba meragut beg tangan  isteri mangsa berumur 64 tahun.

Mangsa berjalan di depan berpaling selepas terdengar jeritan itu terus bertindak membantu isterinya.

Mangsa bagaimanapun dipukul oleh kedua-dua suspek sebelum dia jatuh ke tanah.

Kedua-dua suspek kemudian kembali kepada isteri mangsa yang juga ditolak ke bawah dan tangannya dipijak.

Suspek berjaya mengambil beg tangan isteri mangsa sebelum melarikan diri.

Mangsa  meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami luka di pipi, bibir dan bahagian kening namun isteri mangsa terselamat dan hanya mengalami lebam di tangannya.

Beg tangan isteri mangsa mengandungi sepasang subang dan wang tunai berjumlah RM400 berjaya dilarikan oleh penjenayah tersebut.

Advertisement