Anda di sini

Polis minta saksi kes tembak Bill Kayong tampil bantu siasatan

Advertisement

KUCHING: Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi meminta kerjasama saksi yang melihat tembakan serta menyebabkan kematian Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri Bill Kayong pada 21 Jun lepas untuk tampil membantu siasatan.

Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata pihaknya sedang rancak menjalankan siasatan pembunuhan mangsa yang diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Sarawak SAC Dev Kumar serta dibantu PDRM Bukit Aman.

“Satu jawatankuasa pasukan petugas yang khusus sedang menjalankan siasatan terhadap kes pembunuhan di Miri kelmarin sedang rancak diadakan.

“Pihak kami menggunakan semua elemen dalam CID, PDRM serta pihak dari Bukit Aman turun memberi bantuan dalam siasatan ini.

“Saya berharap masyarakat akan dapat menghulurkan maklumat yang berkualiti dan bernas kepada pihak polis untuk kita teruskan siasatan ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak semalam.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan sebarang maklumat berkaitan siasatan yang sedang dilakukan pihaknya namun akan memanggil saksi-saksi yang dapat membantu dalam siasatan pihaknya.

Tegasnya juga, pihak forensik sedang menjalankan siasatan terperinci di lokasi kejadian dan apa sahaja bukti yang dapat diperolehi akan digunakan bagi membantu siasatan pihak polis.

Pada masa yang sama, dalam insiden berlainan yang berlaku di Bau semalam beliau percaya ia adalah tembakan yang tidak disengajakan.

Beliau juga katanya, tidak mempunyai rekod pemilikan senapang patah di negeri ini kerana ia disimpan di bahagian pelesenan di Pejabat Daerah melainkan pistol yang direkodkan dengan pihak PDRM.

Mazlan menegaskan bahawa pihaknya juga akan bekerjasama erat sebagai rakan strategik dalam membantu menyelesaikan masalah gejala sosial dan jenayah yang melibatkan remaja.

“Kes jenayah khususnya kes rogol, PDRM akan sentiasa memberi kerjasama dengan pihak Kementerian Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti sebagai rakan strategik bagi menyiasat kes tertentu untuk kebajikan mangsa.

Beliau turut mengucapkan penghargaan terhadap pihak kementerian terbabit atas penyerahan sumbangsih kuih raya sebanyak 1,600 yang mengandungi kek hati parek, pelbagai biskut, kuih siput, serunding daging dan sagu kombo.

Advertisement